fbpx

Rungutan, gurauan ‘hentikan’ pelekat LKM Azhan Rani jadi kenyataan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZHAN Rani pernah merungut dan secara sinikal bergurau tentang isu pelekat LKM menerusi Instagramnya.

PETALING JAYA – Pelakon Azhan Rani antara antara rakyat Malaysia yang meluahkan rasa lega apabila kerajaan Malaysia akhirnya memperkenalkan pendigitalan lesen kenderaan motor (LKM atau cukai jalan) pada kenderaan, sekali gus memansuhkan pelekat LKM yang menjadi amalan lazim selama ini.

Azhan juga barangkali menjadi individu paling gembira memandangkan pengguna kenderaan berlesen sudah tidak perlu berdepan masalah lesen LKM yang mudah koyak sebaliknya sudah boleh diakses dalam mood digital.

Dia berterima kasih dengan usaha kerajaan mendengar rintihan rakyat berhubung situasi yang sering dibangkitkan sebelum ini.

“Terima kasih menteri bijak. Setelah berpuluh tahun, baru muncul menteri yang faham apa itu maksud praktikal.

“Saya mewakili jutaan pengguna jalan raya Malaysia mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih atas usaha menteri,” katanya dalam satu hantaran Instagram.

Sebelum ini, Azhan pernah bergurau mengenai pengumuman kerajaan Korea Selatan yang memansuhkan penggunaan pelekat cukai jalan pada kenderaan dengan menyatakan kononnya perkara sama akan diperkenalkan di negara ini.

Kini, bahan jenaka tersebut menjadi kenyataan apabila Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan pelekat cukai jalan tidak lagi perlu dipamerkan pada kenderaan persendirian rakyat Malaysia.

“Semasa saya memuat naik video menonton berita di Korea dulu kalian gelakkan saya. Nampak, betul tak (jadi kenyataan),” ujarnya.

Sementara itu, pelakon filem Daddyku Gangster itu turut mencadangkan supaya menteri-menteri yang berkaliber dalam menjalankan tugas diberikan penghargaan.

“Boleh tak mahu cadangkan untuk memberikan anugerah satu atau enam bulan sekali buat menteri yang menjalankan tugas seperti di pejabat-pejabat kerajaan lain.

“Rasanya akan ramai menteri yang berlumba-lumba untuk menjalankan tugas dan faedahnya dapat kepada rakyat juga.

“Pada saya, menteri ini (Anthony) paling layak untuk menerima anugerah ini,” jelasnya.

Rata-rata netizen turut terhibur dan menganggap bahan lawak Azhan menjadi sehingga diberikan perhatian oleh menteri.

“Masin betul video abang. Selepas ini boleh buat video seterusnya pula,” ujar peminat.

“Terbaiklah abang. Saya tengok berita ini terus teringat hantaran abang sebelum ini,” kata pengikut.

Terdahulu pada 7 Disember 2022, Azhan secara sinikal pernah mengkritik amalan penggunaan pelekat  lesen kenderaan motor (LKM atau cukai jalan) yang didakwa menyusahkan dan ketinggalan zaman.

Pelakon yang terkenal dengan sikap selamba itu turut memohon pihak berkuasa agar mencari pendekatan bahari agar amalan ‘bongok’ penggunaan pelekat LKM tidak lagi diwarisi sampai zaman-berzaman. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI