SUNGAI PETANI – Seorang remaja lelaki maut manakala rakannya cedera selepas motosikal ditunggangi bergesel antara satu sama lain di Kilometer 92.2 Lebuh Raya Utara Selatan dekat sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.05 pagi itu, mangsa berusia 18 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala. Mangsa merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pekula Jaya di Tikam Batu dekat sini.
Sementara seorang lagi penunggang motosikal yang merupakan rakan mangsa berusia 20 tahun mengalami luka pada badan dan kini dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian berlaku ketika kedua-dua penunggang motosikal itu dalam perjalanan dari arah Gurun menghala Sungai Petani.
“Mereka dipercayai menunggang motosikal dengan kelajuan tinggi sebelum bergesel antara satu sama lain. Impak perlanggaran yang kuat menyebabkan kedua-dua motosikal itu terbabas ke kiri jalan dengan salah seorang mangsa tercampak dan maut di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, pemeriksaan mendapati mangsa maut tidak mempunyai lesen memandu dan seorang lagi mangsa masih belum diketahui pekerjaannya atau status lesen memandunya kerana belum diambil keterangan berikutan masih mendapatkan rawatan di HSAH.