fbpx

Pekerja ladang ternakan dijel 10 tahun miliki bom, senjata tajam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh tersenyum selepas mengaku bersalah memiliki bom dan senjata tajam di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, hari ini. - Foto oleh SYAFEEQ AHMAD / KOSMO!

MELAKA – Seorang pekerja ladang ternakan lembu dipenjara 10 tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah memiliki bom dan senjata tajam, empat tahun lalu.

Hakim Darmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman itu terhadap P. S. Tamil Kumaran, 36, yang membuat pengkuan bersalah sejurus dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati bersalah memiliki sebutir bom tangan tanpa kebenaran yang sah di sisi undang-undang yang ditemui di dalam sebuah kereta jenis Toyota Vios bersama dua lagi rakannya.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 12.15 tengah hari di persimpangan lampu isyarat Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) di Serkam dalam daerah Jasin pada 24 Oktober 2019.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati bersalah memiliki dua bilah parang dan dua batang kayu rotan tanpa kebenaran yang sah di sisi undang-undang pada masa, lokasi dan tarikh yang sama.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan sebat mengikut Seksyen Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N. Siva Shangari, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Sheelan Arjunan.

Setelah mendengar hujah kedua-dua belah pihak, Darmafikri menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan dan satu sebatan bagi pertuduhan kedua.

Beliau bagaimanapun memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 24 Oktober 2019.

Hukuman itu turut diarahkan dilaksanakan di Penjara Sungai Buloh susulan tertuduh turut menghadapi pendakwaan kes bunuh di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI