fbpx

Pasukan SMART selamatkan pesakit jantung mangsa gempa bumi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasukan SMART menjalankan operasi SAR sebaik tiba di lokasi gempa di Nurdagi semalam. – Ihsan SMART

PETALING JAYA – Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) menggambarkan tragedi gempa bumi yang melanda Nurdagi, Gaziantep sebagai mimpi ngeri.

Komander SMART, Mohd. Khairul Jamil berkata, berdasarkan pemerhatiannya, hampir semua bangunan sepanjang le­bih empat kilometer ke Nurdagi runtuh ekoran gempa bumi kuat yang melanda kawasan itu.

“Memang sangat terkejut sebab ketika kami hampir tiba di Nurdagi, hampir semua bangunan sepanjang laluan runtuh dan runtuhan tersebut juga bukannya ‘biasa-biasa’.

“Selain itu, penduduk di Nur­dagi dilihat masih terkejut dan bingung ekoran bencana tersebut. Mereka memerlukan bantuan seperti makanan dan minuman pada masa sama terpaksa berdepan dengan cuaca sejuk,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Seorang anggota SMART menggunakan peralatan khas dalam mencari dan menyelamat mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan di Nurdagi, Gaziantep, Turkiye.

Mohd. Khairul memberitahu, pihaknya berjaya menyelamatkan seorang mangsa berusia dalam lingkungan 50-an yang diserang penyakit jantung yang berada di pusat pemindahan. Lelaki itu dibawa ke hospital dan dilaporkan stabil.

Jelas beliau, SMART kemu­dian menyambung semula operasi pada pukul 8 pagi (waktu tempatan) semalam.

“Ketika misi dijalankan, pera­latan ‘Delsar’ turut digunakan untuk mengesan mangsa di bawah runtuhan,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Khairul memberitahu, misi operasi mencari dan menyelamat (SAR) pasukan SMART kini berdepan cabaran cuaca sejuk -1 ke -2 darjah Celsius.

Mohd. Khairul (kanan) bersama Pegawai Perubatan Medan Pasukan SMART, Kolonel Dr Mohd Hafizi Abdullah.

“Untuk makluman hari ini (semalam) cuaca mencecah antara -1 dan -2 darjah Celsius dan kita menghadapi kesukaran untuk melaksanakan kerja dalam cuaca sebegini.

“Besar harapan kami agar seluruh rakyat Malaysia dapat mendoakan kami di sini sebab cuaca sejuk. Selain itu, kami menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan minyak untuk kelancaran misi SAR.

“Kebanyakan premis di sini masih belum dibuka, jadi kami terpaksa mendapatkan bekalan minyak dan keperluan lain di daerah-daerah lain yang tidak terjejas selain sistem komunikasi tidak stabil ketika ini,” tambahnya.

Pasukan SMART, Nadma, di pangkalan operasi mereka di Nurdagi, Gaziantep
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI