PETALING JAYA – Pas Negeri Kedah telah menyerahkan sumbangan awal kepada Tabung Gempa Bumi Turkiye dan Syria kepada PasRelief berjumlah RM10,000 sempena pelancaran tabung itu kelmarin.
Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah, Datuk Ahmad Yahaya berkata, sumbangan tersebut adalah insiatif pihaknya dalam membantu mangsa gempa bumi di kedua-dua negara terbabit.
Beliau berkata, Pas Kedah bersama PasRelief mengajak seluruh lapisan masyarakat yang prihatin untuk menyumbang kepada mangsa bencana gempa Turkiye dan Syria.
“Janganlah kita mendiamkan diri pada saat saudara seakidah kita ditimpa bencana gempa yang sangat kuat.
“Sudah tentu hati dan jiwa serta kebersamaan kita bersama saudara kita di sana menyebabkan kita tidak boleh berdiam diri. Ada sesuatu yang perlu kita lakukan apabila melihat ujian musibah yang begitu besar menimpa mereka.
“Maka tunjukkanlah kebersamaan kita bersama rakyat Turkiye dan Syria dengan menyumbang semampu kita. Semoga dengan sumbangan ini, kita dapat meringankan beban yang menimpa mereka di sana,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Ahmad berkata majlis pelancaran Tabung Gempa Bumi Turkiye dan Syria telah diadakan di Kompleks Pas Negeri Kedah di Alor Setar, kelmarin
Pada majlis tersebut, Ahmad mewakili Pas Kedah telah menyerahkan sumbangan terbabit kepada Pengarah PasRelief, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, orang ramai yang ingin membuat sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Maybank Islamic : PASRELIEF : 5640-7061-2333 atau melalui :https://infaqpay.my/plus/gempa-bumi-turkiye-pasrelief.-KOSMO! ONLINE