SAMA seperti kebanyakan penyakit lain, kanser payudara juga tidak mendiskriminasikan jantina.
Tanggapan masyarakat umum bahawa kanser payudara hanyalah ‘penyakit wanita’ adalah tidak tepat. Ini kerana, lelaki juga berisiko menghidapnya, bahkan berpotensi menjadi lebih berbahaya.
Pakar Onkologi Klinikal di Pusat Perubatan Sunway, Dr. Nik Muhd. Aslan Abdullah berkata, kanser payudara berpotensi untuk tumbuh dan merebak ke mana-mana sahaja tisu yang terdapat pada bahagian tersebut.
“Ia lebih jarang berlaku pada lelaki. Oleh itu, kes yang didiagnosis juga lebih terpencil.
“Kanser payudara yang terjadi kepada lelaki dan wanita berkongsi banyak ciri serupa,” katanya.
Tambahnya, jenis kanser payudara yang paling lazim berlaku terhadap lelaki adalah jenis sama yang terdapat pada wanita iaitu karsinoma duktus invasif, karsinoma lobular invasif dan karsinoma duktal in-situ (DCIS).
Selain itu, kebanyakan tanda-tanda awal kanser payudara yang dialami oleh lelaki sama seperti wanita.
Misalnya, terdapat ketulan pada tisu payudara mereka, permukaan payudara menjadi seperti kulit limau yang mengeras dan menegang.
Tanda lain adalah retraksi puting menyebabkan ia termasuk ke dalam dan terdapat lelehan cecair yang luar biasa keluar daripada puting.
Justeru, apakah yang membezakan diagnosis kanser payudara bagi lelaki?
Pertama, penting untuk memahami bahawa majoriti kanser payudara merebak disebabkan tindak balas terhadap hormon estrogen atau progesteron.
Ini kerana, sel-sel kanser payudara yang positif reseptor hormon (HR-positif) mempunyai reseptor di luar dindingnya.
Ia boleh melekat pada hormon tertentu yang beredar melalui badan dan membolehkan pertumbuhan berlaku.
Sementara itu, Dr. Nik Muhd. Aslan menjelaskan bahawa lelaki mempunyai kemungkinan lebih tinggi untuk mengembangkan sel kanser payudara yang positif HR berbanding wanita.
Menurutnya, tisu payudara tumbuh dengan sendiri sebagai tindak balas kepada estrogen yang dominan terdapat pada wanita dan ia disekat oleh testosteron.
“Walaupun pada umumnya ia adalah hormon wanita, tetapi lelaki juga memilikinya pada tahap lebih rendah dalam badan mereka.
“Sel kanser payudara pada lelaki sangat sensitif terhadap ketidakseimbangan hormon,” terangnya.
Disebabkan itu, sebarang faktor atau keadaan yang boleh menyebabkan lebihan estrogen dan kekurangan testosteron akan meningkatkan risiko mereka mendapat kanser payudara.
Keadaan seperti sindrom Klinefelter iaitu masalah genetik yang jarang berlaku apabila lelaki mempunyai kromosom X tambahan.
Ia akan menghasilkan tahap androgen lebih rendah, kecederaan pada buah zakar, penggunaan perencat androgen, sirosis hati iaitu parut pada hati dan obesiti boleh menjadi faktor paras estrogen lelaki meningkat.
Disebabkan itu, majoriti kanser payudara pada lelaki adalah HR-positif.
Ia menjadikan mereka lebih cenderung untuk bertindak balas terhadap rawatan hormon.
“Lelaki yang didapati menghidap kanser payudara HR-positif boleh memilih kaedah rawatan seperti wanita.
“Rawatan itu dikenali sebagai terapi hormon seperti Tamoxifen,” jelasnya lagi.
Sementara itu, faktor utama lain yang menjadi penyebab terjadinya kanser payudara lelaki adalah genetik.
Hampir satu daripada lima pesakit didapati mempunyai sejarah keluarga dengan penyakit tersebut.
Ini kerana, lelaki juga boleh mewarisi mutasi gen BRCA1 atau BRCA2 atau gen lain seperti CHEK2 dan PALB2 yang mampu meningkatkan risiko kanser payudara.
Dr. Nik Muhd. Aslan menjelaskan, biarpun tidak mempunyai pilihan menentukan jenis gen diwarisi, namun melakukan pencegahan awal adalah lebih baik daripada mengubati.
“Lelaki yang mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser harus menjalani ujian saringan genetik secepat mungkin terutamanya bagi mereka berumur lebih 50 tahun.
“Ujian ini dilakukan melalui persampelan darah yang mana kaunselor genetik boleh membimbing anda tentang perkara perlu diberi perhatian,” katanya.
Ketika ditanya mengenai perspektif lelaki menghidap kanser payudara, Dr. Nik Muhd. Aslan menegaskan, mereka dikesan awal boleh sembuh lebih cepat.
“Lelaki yang menghidap kanser payudara sering didiagnosis lewat.
“Lelaki menunggu terlalu lama untuk mendapatkan diagnosis bagi simptom yang telah dialami atau tidak mengenali tanda-tanda amaran kanser payudara,” terangnya.
Mengakhiri kata, Dr. Nik Muhd. Aslan menasihatkan golongan lelaki supaya tidak takut berjumpa doktor jika mereka mendapati diri mengalami mana-mana gejala berkaitan kanser payudara.
Jelasnya, kanser payudara boleh diubati sekiranya dikesan awal.
“Pengaruh persepsi lelaki dan kesediaan mereka untuk diperiksa memainkan peranan penting untuk mendapatkan diagnosis awal.
“Oleh itu, golongan lelaki harus diberi sokongan untuk mendapatkan bantuan apabila diperlukan,” katanya.