PETALING JAYA – Balu Allahyarham Abam Bocey, Siti Nor Hidayah Moh. Ali meminta adik iparnya, Ali Puteh segera membayar ganti rugi RM60,000 seperti diperintahkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur tahun lalu.
Nor Hidayah mendakwa bayaran tersebut masih belum dilunaskan oleh Ali Puteh atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd. Ridzuan.
Dakwa beliau, rumah milik arwah suaminya juga belum diserahkan kepadanya dan sehingga kini masih dihuni oleh keluarga Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan.
“Hari ini 10 Februari 2023, genap tiga tahun arwah meninggalkan kami. Abang, sayang datang rumah kita, tapi, korang (anda semua) nilailah sendiri.
“Pihak di sana (Ali Puteh) tolong serahkan kunci rumah arwah dan buat bayaran RM60,000. Peguam Dayah dah dua kali hantar surat dan bagi masa 21 hari, tetapi pihak di sana hanya berdiam diri dan mempermainkan perintah mahkamah,” dakwanya menerusi hantaran terbaru di TikTok hari ini.
Dalam pada itu, Nor Hidayah mendakwa beliau mengunjungi rumah tersebut bersama peguamnya, tetapi penghuninya enggan keluar walaupun mereka berulang kali memberi salam.
“Satu jam saya tunggu, tiada siapa yang menyahut dan buka pintu rumah sedangkan ada kereta, motosikal arwah, kasut.
“Korang boleh tengok sendiri rumah kami jadi apa, sedih sangat-sangat. Rumah macam hutan, sedih tengok keadaan rumah arwah suami.
“Sedih sangat, datang dengan perasaan hampa. Datang ke rumah sendiri tetapi tidak dibenarkan masuk. Mereka memang tidak bagi saya masuk rumah,” luahnya.
Nor Hidayah menfailkan saman fitnah terhadap Ali pada Mei 2020 berhubung kenyataan dibuat pelawak itu menerusi akaun Instagramnya yang mendakwa wanita itu seorang isteri tidak bertanggungjawab selain tamak harta arwah suaminya.
Setelah dua tahun, Nor Hidayah memenangi kes tersebut dan Ali diperintahkan membayar ganti rugi RM60,000 kepada kakak iparnya. – KOSMO! ONLINE