PETALING JAYA – Syarikat penerbangan kos rendah, MYAirline baru-baru ini melancarkan promosi terbaharunya, iaitu Jualan Cuti Sekolah, Istimewa Ramadan dan Tawaran Perjalanan Pertengahan Tahun yang menjadikan perjalanan domestik lebih berpatutan.
Promosi tersebut tersedia untuk masa terhad dari 7 hingga 12 Februari 2023, untuk tempoh perjalanan 17 Februari hingga 20 Mac 2023 untuk Jualan Cuti Sekolah, 21 Mac hingga 13 April 2023 untuk Istimewa Ramadan dan 1 Mei hingga 30 Jun 2023 untuk Tawaran Perjalanan Pertengahan Tahun.
Tawaran melibatkan semua laluan semasa MYAirline itu menyediakan tambang untuk penerbangan ke Pulau Pinang, Kota Bharu dan Langkawi dari serendah RM39; ke Kuching, Sibu dan Miri dari RM69; ke Kota Kinabalu dari RM119; dan ke Tawau dari RM129.
MYAirline dalam satu kenyataan berkata, pengembara dapat menikmati perjalanan yang pantas, boleh dipercayai serta meyakinkan dan ia terbukti daripada lebih 250,000 penumpang dengan faktor muatan sebanyak 92 peratus sejak penubuhannya pada Disember 2022.
“Kejutkan keluarga anda dengan berbuka puasa bersama mereka, rebut peluang untuk perjalanan perniagaan sehari atau bercuti sebentar ke Malaysia Timur.
“Tempahan penerbangan boleh dibuat dengan mudah melalui laman web di myairline.my atau melalui aplikasi MYAirline yang tersedia di Apple App Store dan Google Play,” katanya.