fbpx

Murah punca bubu naga jadi pilihan nelayan tamak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noraisyah menunjukkan bubu naga yang dirampas pihaknya. FOTO: AFIQ RAZALI

KUALA SELANGOR – Harga semurah RM18 semeter menjadi antara penyebab penggunaan bubu naga dalam kalangan nelayan di perairan negeri ini.

Peralatan yang diharamkan itu dijual secara berleluasa di platform e-dagang dengan pelbagai saiz sebelum dikatakan diubah suai pengusahanya.

Pengarah Perikanan Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, modal yang rendah dengan hasil perikanan agak lumayan seterusnya menjadikan kegiatan tersebut semakin berleluasa dan menimbulkan konflik dengan nelayan pantai atau tradisional yang menggunakan cara penangkapan biasa.

Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati penangkapan hasil laut secara tamak dan merosakkan ekosistem itu dilakukan sama ada oleh nelayan berlesen atau tidak.

“Mereka (pengusaha bubu naga) juga dikatakan menggunakan khidmat warga asing yang digajikan mereka.

“Modus operandi juga berubah apabila menggunakan penandaan menerusi sistem pengesanan global (GPS) berbanding penandaan pelampung atau pancang,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Tahanan Vessel Jabatan Perikanan Selangor di sini, hari ini.

Menurut beliau, satu rangkaian bubu naga sepanjang 270 meter itu dianggarkan mampu mengaut 300 kilogram (kg) hasil laut.

Tambahnya, ia juga dipasang antara satu hingga empat batu nautika serta boleh tenggelam dengan kedalaman 16 meter dalam laut dan boleh digunakan sehingga setahun bergantung kepada kekerapan penggunaannya.

“Berdasarkan Operasi Khas Bubu Naga selama dua hari, kita berjaya merampas sebanyak 1,435 unit bernilai RM86,100 dan merupakan rampasan tertinggi dalam tempoh lima tahun.

“Ini hasil pemeriksaan terhadap 30 premis di sekitar kawasan jeti Bagan Tengkorak, Kuala Selangor, Sekinchan dan Sungai Besar, Sabak Bernam,” jelasnya.-KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI