MACHANG – Seorang mekanik dan jurukimpal yang memiliki sepucuk pistol jenis Colt.45 bersama satu magazine dan 13 butir peluru hidup dicekup dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Belukar Kubur, Labok di sini semalam.
Serbuan dijalankan kira pukul 5.30 petang selepas kedua-dua suspek yang berusia 28 dan 29 tahun dipercayai terlibat dalam kes ugutan jenayah terhadap seorang lelaki di sebuah stesen minyak di Air Putih, Kuantan dekat Pahang pada Isnin lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah selepas menerima laporan daripada mangsa berusia 48 tahun yang juga merupakan penjual kereta.
Menurutnya, semasa menahan kedua-dua suspek, polis memeriksa sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina yang berada di hadapan rumah berkenaan.
“Hasil pemeriksaan di dalam MPV itu telah menemui satu bungkusan kain dan satu kotak yang disembunyikan bawah tempat duduk pemandu.
“Pemeriksaan lanjut di dalam kotak itu telah membawa kepada penemuan sepucuk pistol jenama Colt.45 bersama satu magazine dan 13 butir peluru hidup,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Muhamad Zaki, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan lelaki berusia 29 tahun itu mempunyai rekod lampau berkait kes dadah.
Katanya, sebelum serbuan dijalankan, polis menahan seorang lelaki berusia 25 tahun di Tanah Merah dekat sini berkaitan kes ugutan jenayah itu pada Isnin lalu sebelum suspek diserahkan kepads IPD Kuantan untuk siasatan lanjut.
“Siasatan mendapati, mangsa dipercayai telah diugut oleh kedua-dua suspek semasa berada di stesen minyak di Kuantan itu kira-kira pukul 12.30 tengah hari pada hari yang sama,” katanya.
Tambah Muhamad Zaki, dua lelaki itu direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960. – KOSMO! ONLINE