PUTRAJAYA – Bermula hari ini, orang awam tidak perlu lagi memaparkan lesen kenderaan motor (LKM atau cukai jalan) pada kenderaan masing-masing sebaliknya menggunakan mod paparan digital.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, inisiatif pendigitalan itu diperkenalkan bertujuan mengatasi isu pelekat LKM yang kerap rosak dan bermasalah sebelum ini.
Beliau berkata, orang awam boleh mendaftar akaun masing-masing secara digital melalui portal awam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau aplikasi mobile MyJPJ menerusi App Store, Play Store dan Huawei App Gallery.
“Buat masa ini, inisiatif itu terpakai bagi kenderaan persendirian individu termasuk pemilik motosikal sebelum diperluas ke fasa seterusnya,” katanya pada satu sidang akhbar di Kementerian Pengangkutan di sini, hari ini.
Ujar beliau, seiring dengan langkah pendigitalisasian tersebut, Lesen Memandu Malaysia (LLM) Persendirian juga akan turut beralih ke platform digital bermaksud pemegang lesen selepas ini tidak lagi perlu membawa kad fizikal lesen mereka ketika memandu.
Menurut Loke, inisiatif secara berperingkat yang kini baru di fasa partama itu akan mengambil kira kesediaan sistem dan penerimaan awam terhadap pelaksanaannya sebelum diperluaskan ke fasa-fasa seterusnya.
“Saya mengalu-alukan semua pemandu dan pemilik kenderaan untuk beralih ke platform digital. Dengan pendigitalan, keadaan sesak dan beratur panjang di kaunter JPJ akan berkurangan dan ini akan menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan keselesaan rakyat.
“Untuk pemandu dan pemilik kenderaan yang belum bersedia, anda masih boleh memperoleh dan mengekalkan amalan memapar pelekat atau kertas LKM serta menggunakan kad fizikal LMM dalam tempoh interim,” jelas beliau.
Mengulas lanjut, Loke berkata, dalam tempoh pelaksanaan fasa pertama ini, beberapa kategori pemilik atau pemegang lesen kenderaan masih perlu mempamerkan LKM dan mengemukakan kad LLM mereka.
“Mereka adalah pemegang Lesen Belajar Memandu (LDL), pemegang Lesen Vokasional (PSV/GDL/KON), pemegang Lesen Memandu Malaysia Bagi Warganegara Asing dan pemegang Lesen Memandu Negara Luar Oleh Pemandu Warganegara Asing (IDP).
“Turut perlu memaparkan LKM mereka adalah LKM persendirian syarikat, kenderaan pemilikan warganegara asing dan kenderaan perdagangan meliputi kenderaan barangan dan kenderaan perkhidmatan awam,” ujar beliau.
Loke turut menegaskan, tindakan penguatkuasaan akan sentiasa dijalankan terhadap mana-mana pihak yang memandu kenderaan tanpa mempunyai LKM atau LMM yang sah selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 20(1), 90(1) dan 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE