fbpx

Lans Koperal Edrin lemas, tiada pelanggaran SOP – Adly

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adly (dua dari kiri) mendengar penerangan daripada Komandan Operasi, Kolonel Zulkinine Yunus ketika tinjauan operasi SAR di Pulau Besar, Melaka. - Foto oleh SYAFEEQ AHMAD

MELAKA – Latihan amali menyelam dijalani anggota Tentera Darat, Lans Koperal Edrin Baintim, 25, yang dikhuatiri lemas di perairan Pulau Undan adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Perkara itu disahkan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, yang meninjau pergerakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di pengkalan carilamat (PHC) di Pulau Besar, di sini, hari ini.

“Mengikut laporan yang dilakukan, latihan itu mengikut SOP termasuk dari segi peralatan, kerana sebelum kejadian (lemas) tersebut pasukan telah melakukan penyelaman sedalam 60 kaki dan diteruskan kepada 120 kaki.

“Mangsa juga bukanlah dari kumpulan pertama tetapi kumpulan kedua, kumpulan pertama telahpun selesai melakukan penyelaman (latihan) itu, jadi SOP itu telah dipatuhi,” katanya pada sidang media di Jeti Anjung Batu, di sini, hari ini.

Turut hadir adalah Panglima 21 Gerup Gerak Khas (GGK) Mejar Jeneral Nubli Hashim.

Tambahnya, bagaimanapun satu penilaian dalaman akan dibuat susulan kemalangan itu bagi membolehkan sebarang penambahbaikan dilakukan dalam sistem diguna pakai.

Mengulas lanjut beliau berkata, lokasi latihan berkenaan juga adalah kawasan yang sama digunakan untuk latihan oleh pasukan Angkatan Tentera Malayasia (ATM).

“Kawasan itu bukanlah lokasi baharu, memang melalui ATM, kawasan itu memang biasa digunakan untuk tujuan penyelaman.

“Insiden ini juga berlaku dipercayai disebabkan arus yang deras, kalau kita lihat cuaca dan laut tenang tetapi arus di bawah itu mungkin berbeza dari satu keadaan ke satu keadaan,” jelasnya.

Katanya, latihan menyelam itu juga tidak akan dihentikan susulan ia merupakan keperluan dalam angkatan tersebut.

Dalam perkembangan operasi SAR, Adly memberitahu, operasi itu akan diteruskan dalam beberapa hari lagi dan pencarian turut melibatkan kaedah sonar bagi mengesan sebarang radius yang berkemungkinan menjadi pentunjuk keberadaan mangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI