PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyokong saranan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali supaya Indeks Prestasi Utama (KPI) kementerian adalah realistik dan telus, bukan bersifat ‘syok sendiri’.
Pengerusinya, Datuk Adnan Mat berkata, perkara berkenaan perlu dilihat secara menyeluruh bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat dirasai dan menyentuh keperluan rakyat.
“Ia sangat penting terutama kepada agensi-agensi yang terlibat secara langsung dalam perkhidmatan pelanggan seperti urusan tanah, urusan kaunter, urusan lesen, urusan rawatan dan sebagainya.
“Jika segala urusan ini dapat diperoleh dengan mudah oleh rakyat dan tidak menyukarkan mereka, sudah pasti ia akan memberikan respon positif dan cepat kepada imej sistem penyampaian perkhidmatan awam,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut Adnan, pendekatan tersebut juga selari dengan falsafah dalam enam rukun Malaysia Madani seperti dicetuskan oleh Perdana Menteri baru-baru ini dimana beliau mahu pelaporan berpaksikan kepada pencapaian secara realiti.
Sehubungan itu, beliau berkata, ia adalah satu keperluan untuk membangunkan platform secara digital yang boleh memudahkan rakyat memberi respon terhadap perkhidmatan kerajaan.
“Respon tersebut perlulah bersifat sahih dan benar, disokong dengan fakta dan bukti bagi memastikan keaslian respon rakyat ditangani dengan efektif oleh pihak yang bertanggungjawab.
“Respon yang diterima merupakan salah satu kayu ukur kepada pencapaian sesebuah kementerian dan perlu diaudit agar pelaporan pencapaian adalah seimbang dengan realiti semasa di lapangan,” ujarnya.
Dalam pada itu, bagi cadangan aktiviti turun padang, beliau berpandangan ia juga merupakan salah satu cara yang baik bagi mendapatkan respon pantas dalam menyelesaikan isu rakyat.
“Kita tidak boleh hanya tunggu pelanggan datang kepada kita untuk mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh rakyat dan kita juga berharap pendekatan ini juga tidak mengganggu perjalanan operasi di pejabat.
“Pendekatan secara menyeluruh perlu diambil bersama-sama termasuk rakyat dan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menjadi mata dan telinga kepada agensi masing-masing.
Selain itu, beliau juga mencadangkan sistem ‘reward’ segera yang pelbagai kepada pegawai bawahan yang berjaya meningkatkan perkhidmatan sistem fail atau proses kerja mereka layak terima ganjaran seperti percutian atau trip menarik dan sebagainya.
Ujarnya, pegawai yang tidak mencapai KPI yang ditetapkan pula akan diberi hukuman. -KOSMO! ONLINE