fbpx

KKM tubuh pasukan kerja khas rangka Kertas Putih vaksin Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Zaliha

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) telah menubuhkan satu pasukan kerja khas bagi merangka Kertas Putih yang bakal memberi gambaran secara komprehensif mengenai pengurusan perolehan vaksin Covid-19.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, penubuhan pasukan berkenaan adalah susulan daripada keputusan yang dibuat pada mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang pada 18 Januari lalu.

“Kertas Putih ini akan meneliti tatacara pengurusan perolehan vaksin Covid-19 yang dilakukan adalah telus demi manfaat rakyat secara keseluruhannya.

“Ini berikutan penemuan awal oleh pihak Jabatan Peguam Negara dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri yang menjalankan ‘due diligence secara terperinci khususnya terhadap terma-terma perjanjian bekalan vaksin yang telah ditandatangani serta dibuat semasa tempoh darurat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr. Zaliha, sehubungan itu, bertepatan dengan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri juga, KKM akan memastikan sebarang urusan perolehan termasuk perolehan vaksin Covid-19 di bawah kementerian tersebut dilaksanakan dengan lebih teliti, berintegriti serta memastikan ia mempunyai manfaat timbal balik kepada kerajaan.

Terdahulu, Kosmo! Online pada 8 Februari lalu melaporkan KKM akan membentangkan Kertas Putih mengenai perolehan vaksin Covid-19 serta kos berkaitan yang dikesan tidak mengikut peraturan pada sidang Parlimen yang akan berlangsung bulan ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, menteri terlibat dipercayai telah menandatangani pembelian vaksin ketika tempoh pandemik bagi tujuan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICk) tanpa persetujuan Jabatan Peguam Negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI