TAPAH – Seorang kelindan lori maut selepas tercampak keluar dari kenderaan dalam nahas membabitkan sebuah treler di Kilometer 350.4, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini hari ini.
Kejadian pada pukul 7 pagi itu mengorbankan S. Umabathi, 41, yang maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian berlaku ketika lori muatan ikan dinaiki mangsa dalam perjalanan dari Kualu Lumpur menuju Ipoh.
Katanya, apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan dipandu lelaki berusia 49 tahun itu telah hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang sebuah treler muatan besi.
“Impak kemalangan itu mengakibatkan mangsa tercampak keluar melalui cermin hadapan sebelum digilis lori. Mangsa yang parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.” katanya di sini hari ini.- KOSMO! ONLINE