fbpx

KBS cakna ABM kurang tempat latihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (tengah) ketika melakukan lawatan ke Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedia untuk melakukan apa termampu bagi menyelesaikan isu kekurangan tempat latihan yang sedang dihadapi Akademi Badminton Malaysia (ABM) pada ketika ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bagi membincangkan langkah terbaik untuk menangani masalah yang dihadapi ABM.

Difahamkan, ABM berdepan masalah kekurangan tempat latihan berdasarkan jumlah pemain yang begitu ramai memandangkan pemain-pemain senior dan junior berkongsi fasiliti sama bagi menjalani latihan.

“Hari ini saya melawat ABM buat kali pertama dengan tujuan utama adalah untuk melihat sendiri infrastruktur dan mendapatkan taklimat mengenai tadbir urus selain mendengar cabaran dihadapi di sini.

“Saya difahamkan mereka kekurangan tempat latihan dan ia masalah yang perlu ditangani. Saya akan bawa balik perkara ini ke KBS dan berbincang dengan perbadanan stadium untuk atasi masalah ini,” katanya kepada pemberita ketika melakukan lawatan ke ABM, Bukit Kiara hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Segambut menjelaskan, pihaknya akan memastikan masalah itu dapat diselesaikan secepat mungkin dalam usaha membantu pemain-pemain mendapatkan latihan yang optimum.

“Kekurangan tempat berlatih bermaksud pemain-pemain kita perlu uruskan masa mereka. Pengurusan masa itu mungkin tidak optimum dan ia tidak bagus untuk mereka, oleh sebab itu saya akan selesaikan masalah kekurangan tempat latihan ini secepat mungkin,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Hannah turut memberitahu, pemain hoki wanita negara, Hanis Nadiah Onn masih boleh membuat rayuan berhubung penggantungan yang dikenakan selepas dia melakukan komen berbaur perkauman di media sosial sebelum ini.

“Ini adalah siasatan bersama yang dilakukan MSN (Majlis Sukan Negara) dan MHC (Konfederasi Hoki Malaysia). Sama ada dia nak merayu ataupun tidak, mungkin perlu jumpa Datuk Shapawi (Ketua Pengarah MSN) dan Datuk Seri Subahan (Presiden MHC), namun itu adalah keputusan yang diumumkan bersama,” tambah beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI