PETALING JAYA – Baru sahaja dinobatkan sebagai juara program Famili Duo, Zaki Yamani, 17, tekun mengulang kaji pelajaran kerana bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.
Menyedari kesibukan kerjaya seninya sebagai penyanyi dan pelakon, Zaki atau nama sebenarnya Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah mengambil inisiatif dengan mengikuti kelas tusyen di Pusat peningkatan akademik dan pakar dalam membantu pelajar SPM (PTTI) sejak penghujung tahun lalu.
Zaki yang bergelar juara Famili Duo bersama abangnya, Yamani Abdillah berkata, dia mahu memantapkan lima subjek sebagai persediaan SPM iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik dan Sains.
“Saya mengikuti kelas di PTTI sebab mahu memberi fokus pada lima subjek. Ini kerana, saya mahu ‘kejar’ semula pelajaran yang banyak tertinggal ekoran terbabit dengan kerjaya seni. Saya fikir, sibuk macam mana pun saya bekerja, pelajaran tetap menjadi keutamaan.
“Alhamdulillah, saya bertuah kerana cikgu di PTTI semuanya ‘sporting’ dan banyak membantu termasuk rakan-rakan di situ. Pendek kata, saya tak berasa terasing pun. Malah mereka menyambut baik.
“Diakui pada awal kelas tu agak kekok juga, tapi apabila dah lama saya mula faham apa yang diajar. Sesi yang diikuti memberi banyak kesan pada prestasi pelajaran saya. Macam subjek Matematik misalnya, ada peningkatan. Kalau soalan dari cikgu di sekolah, saya boleh jawab lebih baik berbanding dulu,” katanya.
Bukan sahaja pelajar, malah Zaki turut dipilih sebagai Ikon PTTI. Sehubungan itu, Zaki berkata, dia perlu memberikan contoh terbaik kepada semua pelajar baik dari segi disiplin mahupun keputusan peperiksaan.
“Sejujurnya saya sangat teruja apabila PTTI ambil saya sebabai ikon mereka. Saya tak pernah dapat tawaran macam ini. Jadi, sebagai ikon saya kena buktikan layak digelar ikon.
“Sebab itu saya kena belajar bersungguh-sungguh kerana orang akan berikan perhatian pada kita. Bukan saja pelajaran tapi juga disiplin dan tingkah laku kita. Seperkara yang saya suka di PTTI adalah mereka ajar kita lebih berdisiplin untuk datang ke kelas mengikut jadual ditetapkan.
“Untuk SPM 2023 saya menyasarkan 7A. Insya-Allah, kalau ada rezeki. Kalau tidak dapat, tak apa. Apa yang penting semua subjek lulus,” katanya yang bercita-cita menjadi seorang pensyarah.
Bempena kemenangan Zaki dalam Famili Duo baru-baru ini, PTTI menawarkan 10,000 buku percuma untuk semua pelajar SPM di seluruh Malaysia. – KOSMO! ONLINE