fbpx

Jadi artis rakaman, jalanan masih dunia Bob Sentuhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DAHULU penyanyi jalanan di Bukit Bintang, Bob kini menyertai pasaran komersial apabila bernaung di bawah Meta Music Xtreme. Foto - MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI

SELEPAS lebih 20 tahun menghiburkan orang ramai di kaki lima sebagai pemuzik jalanan atau busker, akhirnya Bos Sentuhan kini bergelar artis rakaman Meta Music Xtreme sekali gus mempertaruhkan single perdananya, Bukit Bintang.

Bob atau nama sebenarnya Muhamad Aizad Azman, 32, menyifatkan single tersebut cukup istimewa kerana mengambil nama tempat yang menjadi ‘pentas’ dia beraksi dan mencari rezeki selama ini iaitu lokasi ikonik Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Menjadikan lebih istimewa apabila lagu berkenaan turut mendapat sentuhan penyanyi Maman Teacher’s Pet sebagai penggubah dan penerbit.

“Sebelum ini saya pernah menghasilkan sebuah album bersama kumpulan Sentuhan dengan judul yang sama. Namun lagu Bukit Bintang merupakan karya terbaik pernah dirakamkan.

“Ditambah pula ini adalah lagu gubahan daripada penyanyi yang saya cukup minat dan hormati iaitu Maman Teacher’s Pet, saya rasa cukup bertuah,” ujar Bob.

BAKAT yang ada pada diri Bob berjaya mencuri perhatian Maman sehingga terhasilnya lagu Bukit Bintang.

Meskipun kini telah bergelar artis rakaman, jelas lelaki berasal dari Pulau Pinang itu, dia tidak akan sesekali berhenti menjadi penyanyi jalanan.

“Saya tidak akan lari daripada pejuangan seni iaitu ingin menghiburkan orang ramai tanpa mengira bangsa, warna kulit, agama dan kedudukan.

“Sebab itu, setinggi mana pun saya pergi hari ini, saya akan tetap kembali ke jalanan kerana itulah dunia dan pentas saya,” tutur Bob.

Sambungnya lagi, sebelum ini dia pernah menolak tawaran menjadi artis naungan beberapa buah syarikat rakaman, tetapi terbuka hati untuk bersama Meta Music Xtreme kerana tawaran tersebut datangnya daripada Maman Teacher’s Pet.

Bakat besar

“Sebelum ini saya tidak pernah terikat dengan mana-mana label rakaman. Tawaran yang datang memang banyak, tetapi saya menolaknya kerana lebih selesa bergerak sendiri.

“Apabila tawaran datang daripada Maman Teacher’s Pet sendiri, saya terbuka hati kerana yakin perjuangan muziknya sama seperti saya,” kata Bob.

DUA dekad di jalanan, kini Bob meletakkan kariernya di kedudukan kukuh apabila rasmi bernaung di bawah syarikat rakaman Meta Music Xtreme.

Sementara itu Maman yang lebih dua dekad ‘hilang’ dari radar dunia seni berkata, dia mempercayai bakat yang ada dalam diri Bob.

Justeru, penyanyi yang popular dengan lagu Warisan Wanita Terakhir itu memilih Bob sebagai penyanyi lagu Bukit Bintang.

“Ini lagu yang dibuat khas untuk Bob kerana di sinilah dia mula menyanyi dan mencurahkan semangat serta dedikasi menghiburkan orang ramai dengan nyanyiannya.

“Bob mempunyai bakat yang besar dan saya yakin dengan bimbingan serta tunjuk ajar yang baik, dia mampu pergi jauh.

“Saya juga kagum kerana Bob bukan sahaja popular di Bukit Bintang, malah terkenal di Singapura, Brunei dan Indonesia,” tutup Maman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI