fbpx

Hukum ucap Rest in Peace kepada bukan Islam meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ORANG Muslim tidak digalakkan untuk mengucapkan Rest In Peace (RIP) kepada masyarakat bukan Islam. – Gambar hiasan

Apakah hukum orang Islam menyebut Rest In Peace (RIP) apabila mendengar orang bukan Islam yang meninggal dunia? Adakah ia bergantung kepada niat? Bagaimana jika ucapan itu hanya sebagai penghormatan kepada sesama manusia?

Jawapan:

Secara dasarnya, Islam membenarkan ucapan yang baik terhadap orang bukan Islam atas dasar kemanusiaan dan penghormatan terhadap hak mereka.

Ini dapat dikiaskan dengan penghormatan Rasulullah SAW apabila baginda berdiri menghormati jenazah seorang Yahudi yang lalu di hadapan baginda.

Dua perkara penting dalam isu memberi ucapan kepada orang bukan Islam, iaitu:-

i) Niat seseorang dalam memberikan ucapan tersebut. Sekiranya sesuatu ucapan yang diberikan dengan niat membenarkan kepercayaan sesuatu agama yang jelas bertentangan dengan Islam, maka ia adalah dilarang.

Sementara sekiranya ia diucap sekadar penghormatan secara umum, maka ia adalah harus.

ii) Keduanya, latar belakang tradisi istilah yang diucapkan. Sekiranya ia telah menjadi sebahagian daripada amalan keagamaan, maka ia adalah dilarang.

Dalam konteks ucapan Rest In Peace (RIP), ia adalah satu bentuk ucapan doa yang biasa diucapkan dalam agama Kristian terutama dalam mazhab Katolik sejak abad ke-18.

Ia juga biasanya diukir pada batu nisan mereka yang telah meninggal dunia dalam kalangan masyarakat Kristian. Versi penuh ucapan tersebut yang berasal dari bahasa Latin: “May his soul and the soul of all the departed faithful by God’s mercy rest in peace.”

Ia juga mengandaikan bahawa orang bukan Islam tersebut akan mendapat rahmat daripada Tuhan sebagaimana doa asal yang disebut dalam bahasa Latin tersebut.

Sedangkan dari sudut akidah Islam, seseorang yang mati dalam kekufuran tidak akan mendapat keampunan dan rahmat daripada Tuhan.

Ini berdasarkan ayat al-Quran, Surah Al-Taubah : 113, “Tidaklah dibenarkan bagi nabi dan orang-orang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabatnya sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu ahli neraka.”

Oleh demikian, seorang Muslim adalah amat tidak digalakkan untuk mengucapkan RIP kepada seorang bukan Islam.

Bagaimanapun, Islam tidak menghalang seseorang Islam mengucapkan simpati terhadap keluarga orang yang bukan Islam yang meninggal dunia dengan ucapan yang tidak memberi implikasi keagamaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN