fbpx

Gempa Turkiye: MAINPP, ZPP sumbang RM250,000 buat mangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zakiyuddin (tengah) ketika Majlis Pengumuman Prestasi Zakat Pulau Pinang bagi tahun 2022 di Seberang Jaya hari ini. - Foto oleh IQBAL HAMDAN / KOSMO!

SEBERANG PERAI – Prihatin dengan nasib yang menimpa mangsa gempa bumi di Turkiye, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) melalui Tabung Bantuan Kemanusiaan Zakat Pulau Pinang (ZPP) menyalurkan sumbangan sebanyak RM250,000.

Timbalan Ketua Menteri 1 merangkap Yang Dipertua MAINPP, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, sehubungan itu, satu tabung khas kutipan derma juga akan dilancarkan bagi tujuan sama di masjid-masjid seluruh negeri ini.

“Satu arahan akan dikeluarkan kepada semua pegawai tadbir agama (PTA) daerah bagi tujuan koordinasi, insya-Allah. Tabung khas kutipan derma ini akan diadakan untuk tempoh dua kali Jumaat iaitu pada 17 dan 24 Februari ini.

“Saya juga menyeru agar semua pihak tampil membantu saudara-saudara kita yang terkesan dengan tragedi ini dan semoga sumbangan ini juga diharap dapat meringankan beban mereka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat bagi tahun 2022 di Bandar Perda, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zakiyuddin memberitahu, ZPP mencatatkan prestasi yang agak baik dalam tadbir urus kutipan dan agihan zakat sepanjang tahun lalu.

Menurutnya, secara keseluruhan, kutipan zakat yang direkodkan adalah sebanyak RM150,144,855.61 iaitu meningkat sebanyak 1.97 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM2,905,083.22.

Beliau memberitahu, zakat harta mencatatkan jumlah kutipan sebanyak RM143,546,763.64 berbanding RM141,219,358.71 pada 2021 yang didorong oleh peningkatan jumlah pembayar zakat atau muzakki sebanyak 2.76 peratus iaitu 77,895 berbanding 75,746 pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, jumlah kutipan zakat fitrah bagi tahun 1443H/2022 juga meningkat sebanyak 9.59 peratus iaitu sebanyak RM6,598,091.97 berbanding RM6,020,413.68 iaitu melibatkan seramai 808,689 pembayar zakat fitrah berbanding 775,422 pembayar sebelum itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI