PETALING JAYA – Baru sahaja dibebaskan penjara akibat kes samun Januari lalu, seorang lelaki nekad melakukan jenayah samun secara ‘lone ranger’ bersenjatakan pistol angin.
Bagaimanapun, suspek tersebut kemudiannya diberkas semula di sebuah rumah di Kuala Lumpur, 2 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, lelaki berusia 30 tahun itu ditahan sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada pukul 10 pagi.
Katanya, dalam tangkapan itu, pihaknya merampas sebuah motosikal jenis Yamaha Y16ZR selain beberapa keping kad pengenalan, lesen memandu, kad ATM milik individu lain dan sepucuk pistol angin jenis revolver.
“Kami percaya, hasil samun yang digunakan suspek digunakan untuk ubah suai motosikal ditunggangnya selain perbelanjaan harian.
“Dalam pada itu, semakan juga mendapati suspek baru keluar dari penjara pada Januari lalu atas kesalahan jenayah samun.
“Suspek kemudian dipercayai aktif kembali sejak sebulan lalu dengan menyasarkan premis serbaneka,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Petaling Jaya, hari ini.
Menurut Fakhruddin, modus operandi suspek adalah samun bersendirian di awal pagi dengan menyamar sebagai pelanggan dan bersenjatakan pistol angin bagi menakutkan pekerja premis.
Katanya, dipercayai pistol angin dimiliki suspek dibeli suspek secara dalam talian.
“Ekoran penangkapan suspek, empat kes samun premis serbaneka di daerah ini berjaya diselesaikan.
“Suspek yang ditahan akan disambung reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya. -KOSMO! ONLINE.