fbpx

AS dakwa ‘belon pengawasan’ China rentasi 5 benua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Serpihan belon pengawasan China ditemui selepas ditembak jatuh di luar pantai Myrtle Beach, Carolina Selatan, Sabtu lalu. - US Navy/EPA-EFE

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) percaya belon pengawasan China yang ditembak jatuh di negara itu adalah sebahagian daripada ‘armada’ yang dihantar merentasi lima benua, lapor Badan Penyiaran British (BBC) kelmarin.

“AS bukanlah satu-satunya sasaran program yang meluas ini,” kata Setiausaha Negara AS, Antony Blinken sambil menambah bahawa Washington telah berkongsi maklumat yang dikumpul daripada serpihan belon dengan berpuluh-puluh negara lain.

China bagaimanapun menafikan belon itu digunakan untuk tujuan pengintipan sebaliknya menyatakan ia adalah alat yang digunakan untuk mengkaji cuaca tetapi tersasar ke AS kerana ditiup angin.

Pegawai AS menyifatkan belon itu berada pada ketinggian kira-kira 60 meter (m) dengan bahagian muatan yang saiznya setanding dengan sebuah pesawat serantau dan seberat ratusan kilogram (kg).

Ia ditembak jatuh oleh jet F-22 Raptor di pantai Carolina Selatan Sabtu lalu dan dilihat menjadi tindakan yang boleh mencetuskan krisis diplomatik antara Washington dengan Beijing. Ia turut mendorong Blinken membatalkan lawatannya ke China.

Lawatan itu jika berlaku merupakan pertemuan peringkat tinggi antara AS dengan China yang pertama kali diadakan dalam tempoh beberapa tahun.

Memetik pegawai yang tidak dinamakan, akhbar Washington Post melaporkan bahawa AS percaya projek belon pengawasan yang disyaki itu dikendalikan dari wilayah Hainan, China dan negara-negara sasarannya termasuk Jepun, India, Vietnam, Filipina di samping Taiwan.

Pada sidang akhbar kelmarin, jurucakap Jabatan Pertahanan AS, Brigedier Jeneral Pat Ryder mengesahkan bahawa Pentagon percaya belon serupa telah beroperasi di Amerika Utara, Amerika Selatan, Asia Tenggara, Asia Timur dan Eropah. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI