BARCELONA – Spekulasi mengenai masa depan kapten Barcelona, Sergio Busquets bertiup kencang ketika kontrak semasanya bakal berakhir pada penghujung musim ini.
Pada awal musim lalu, Busquets mendedahkan bahawa dia sudah bersedia meninggalkan Camp Nou untuk berkelana ke Liga Bola Sepak Major Amerika Syarikat, namun menangguhkan hajatnya setelah dipujuk oleh jurulatihnya, Xavi.
Bagaimanapun, situasi itu tidak mematahkan semangat beberapa kelab yang masih memujuk Busquets untuk menyertai mereka apabila pemain berusia 34 tahun itu turut menerima tawaran daripada Al Nassr yang berjaya mendapatkan khidmat Cristiano Ronaldo sebelum ini.
Kelab dari Liga Arab Saudi itu semakin ghairah untuk memperkuatkan pasukan itu selain ia menjadi langkah penting bagi menjadikan liga negara itu mampu menarik minat pemain-pemain berprofil tinggi dari Eropah dalam misi membida tawaran sebagai tuan rumah Piala Dunia 2030.
Laporan menyebut bahawa Al Nassr telah mengemukakan tawaran gaji sebanyak €18 juta (RM83 juta) semusim tanpa dikenakan sebarang cukai dengan kontrak selama dua tahun untuk menyertai mereka.
Selain Busquets, kelab berkenaan juga dikatakan telah membuat tawaran sama kepada pemain tengah Real Madrid, Luka Modric.
Bagaimanapun, Busquets masih belum membuat sebarang keputusan mengenai perkara itu dan sedia menunggu tawaran kontrak baharu daripada Barcelona yang dipercayai mungkin tidak akan berlaku ekoran kekangan kewangan selain faktor usia pemain berkenaan. – AGENSI