BERKELANA jauh dari kampung halaman demi mencari rezeki merupakan satu cabaran besar terutama apabila perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.
Bagi warga Semenanjung yang bertugas di Borneo, sudah tentu makanan dengan cita rasa kampung merupakan antara dirindui saat berjauhan dengan keluarga.
Dari situ tercetus inspirasi buat peniaga, Nur Izzati Zalaluddin, 32, untuk meredakan sedikit kerinduan rakan-rakan terutama penjawat awam dari Semenanjung dengan membuka sebuah restoran masakan Melayu di Sri Aman, Sarawak.
Tambah wanita yang mesra dengan panggilan Zetty itu, pembukaan restoran Opah Tom Yam juga memberi peluang kepada penduduk di Bumi Kenyalang untuk merasai menu dari Semenanjung.
“Idea ini dimulakan oleh ayah saya ketika berpindah ke sini. Ayah saya juga merupakan seorang penjawat awam dari Perak.
“Ayah saya pernah membuka restoran makan malam sekitar tahun 2007 hingga 2013 dengan berkonsepkan fusion Melayu-Thailand.
“Kini, saya olah kembali idea tersebut dengan menawarkan hidangan makanan tengah hari. Kami baru sahaja membuat pelancaran semula Opah Tom Yam pada 15 Januari lalu.
“Bagi makan tengah hari, kami menyediakan kira-kira 10 hingga 15 jenis lauk-pauk Melayu.
“Antaranya, ayam berempah, ayam sambal, terung sambal, sambal tumis petai dan pucuk ubi masak lemak.
“Sementara pada sebelah malam pula, kami menawarkan makanan fusion Melayu-Thailand seperti tomyam, paprik serta kailan ikan masin,” katanya.
Menurut Zetty, penyediaan sambal ulek yang pedas dan cukup rasa sebagai pelengkap buat nasi ayam penyet, sekali gus menjadikan menu tersebut paling laris di Opah Tom Yam.
Sambal tersebut menjadi signatur di Opah Tom Yam kerana kebanyakan sambal ayam penyet dijual di Sarawak menggunakan belacan yang memberi tekstur dan rasa berbeza.
Selain ayam penyet, masakan tomyam yang masam serta pedas turut menjadi pilihan utama para pelanggan setia restorannya.
“Orang Sarawak suka makanan manis dan kurang pedas. Oleh itu, kebanyakan juadah yang dijual di sekitar kawasan ini tidak memiliki rasa ‘pergh’.
“Makanan yang pada mereka sangat pedas, orang Semenanjung tidak rasa apa-apa.
“Jadi, menu yang kami sediakan sedikit sebanyak dapat memberi kepuasan buat warga Semenanjung yang rindukan makanan pedas,” ujarnya.
Bagi menambah lagi keunikan di restorannya, ibu kepada seorang cahaya mata itu sering melakukan ‘uji kaji’.
Ia bagi membolehkan pelanggannya mencuba sesuatu yang baharu dari semasa ke semasa.
“Saya gemar mencuba masakan viral di TikTok. Saya akan masak dalam kuantiti sedikit dahulu untuk melihat sejauh mana juadah itu boleh ‘pergi’ sebelum menambahnya dalam menu,” tuturnya lagi.
Mengulas mengenai penerimaan pelanggan, Zetty mendedahkan bahawa terdapat reaksi berbeza daripada pelanggan dari Semenanjung dan Sarawak.
Rata-rata pelanggan Semenanjung meluahkan rasa syukur kerana mereka tidak perlu menunggu berbulan-bulan dan mengembara beribu batu untuk melepaskan rindu dengan masakan kampung.
Bagi pelanggan tempatan, mereka masih lagi dalam fasa pengenalan terhadap cita rasa Semenanjung.
“Pelanggan-pelanggan tetap dari Semenanjungi terdiri daripada penjawat awam. Rata-rata mereka sangat teruja kerana masakan kami kena dengan ‘tekak’.
“Reaksi berbeza bagi pelanggan dari Sarawak, mereka menganggap masakan Semenanjung unik terutama dengan rasa pedas yang ada pada hampir setiap masakan kami,” katanya.