fbpx

Taman tema tropika pertama di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SPLASH Mania menawarkan 24 permainan gelongsor air buat para pengunjung.

SAAT melangkah masuk ke Taman Tema Air Splash Mania (Splash Mania), pengunjung akan melihat pemandangan sebuah kapal besar bak replika Flor de La Mar di Melaka.

Kapal besar dengan ketinggian umpama bangunan 18 tingkat itu memiliki kawasan flush dek yang memberi peluang kepada pengunjung bergambar seperti adegan dalam filem Titanic.

Ia juga dilengkapi dengan empat jenis permainan gelongsor serta kawasan untuk flying fox dan bungee jumping.

Berdasarkan ‘legenda’ Splash Mania, empat sahabat iaitu Omba’ King iaitu si dugong, Zoomi (orang utan), Max (memerang) dan Swaggy (beruang matahari) terkandas di sebuah pulau bernama Amazonia.

Disebabkan itu, empat sekawan tersebut membuka kawasan permainan berdasarkan karakter mereka. Ia menjadi konsep taman tema berkenaan iaitu gabungan elemen ekopelancongan, cabaran, teknologi dan hiburan.

Tampil sebagai taman tema pertama di Malaysia yang berkonsepkan hujan tropika, Splash Mania ‘dipayungi’ lebih 1,500 pokok termasuk spesies asli dan terancam.

Taman tema itu juga menawarkan 39 permainan tarikan kering dan basah, termasuk 24 permainan gelongsor dalam kawasan berkeluasan 6.47 hektar yang dibina oleh Gamuda Land di Gamuda Cove, Banting, Selangor.

SPLASH Mania menawarkan kawasan permainan air yang sesuai buat golongan dewasa dan kanak-kanak.

Ketua Operasi Taman Tema Air Splash Mania, Suresh V. Kumaran berkata, permainan yang wajib dicuba pengunjung adalah gelongsor Wild Rush, Shaka Waka dan Atlantic VR.

“Bagi yang ingin mencabar adrenalin, mereka boleh mencuba gelongsor Wild Rush. Gelongsor ini menjunam ke dalam kolam sedalam 2.74 meter.

“Tidak perlu risau, kami memiliki anggota penyelamat yang akan sentiasa bersedia untuk memantau keselamatan pengunjung.

“Selain itu, kita ada Shaka Waka iaitu gelongsor gelap yang dihiasi lampu berwarna-warni.

“Seterusnya, gelongsor Atlantic VR yang memerlukan pengunjung memakai peranti realiti maya (VR) sambil menuruni gelongsor. Ia merupakan permainan pertama seumpamanya di Asia Tenggara,” katanya.

Selain itu, taman tema air tersebut dilengkapi dengan laluan sungai sepanjang 400 meter yang dilengkapi pelbagai elemen bagi menghidupkan deria berbeza pengunjung.

Laluan yang dilengkapi terowong dengan bunyi hutan tropika, tembakan air, laluan hujan serta kawasan berbuih itu turut mempunyai kawasan ombak dan jakuzi.

Lebih menarik, taman tema berkenaan membolehkan pengunjung menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga dengan menawarkan kawasan permainan yang sesuai dikongsi golongan dewasa dan kanak-kanak.

“Beberapa jenis gelongsor dan kawasan luncur air ini membolehkan orang dewasa dan kanak-kanak bermain bersama,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI