GENAP tujuh hari menimang cahaya mata pertama, pelakon Nynaa Harizal berkongsi berita gembira menerusi Instagramnya.
Dalam hantaran dibuat bintang drama Madam E-Wallet itu, bayi yang tidak didedahkan jantinanya selamat dilahirkan pada 29 Januari lalu.
Mizz Lahar pun baru tahu Nynaa hamil hanya pada trimester akhir beberapa bulan lalu. Memang perahsia aktres putih gebu ini.
Seronok tengok gambar dia bersama suami sedang menggenggam tangan si kecil. Comel sungguh keluarga kecil itu.
Khabar gembira berkenaan turut diumumkan suami Nynaa, Fahmi Ilyas dalam laman sosialnya dengan memaklumkan mereka kini sudah bertiga.
Sudah pasti kehadiran orang baharu menyuntik rasa teruja pengikutnya termasuk rakan artis yang mendoakan ibu dan anak dalam keadaan sihat selain tidak sabar melihat wajah bayinya itu.
Mizz Lahar: Tahniah buat Saharul Ridzwan dan isteri yang menimang anak ketiga.