PETALING JAYA – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub, hari ini mencuba sendiri Menu Rahmah yang diperkenalkan kementeriannya di sebuah gerai makanan, di Cyberjaya.
Menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya Salahuddin memberitahu, beliau bersama isterinya Datin Seri Fatimah Taha berkesempatan makan tengah hari bersama dan memilih untuk mencuba Menu Rahmah sebagai sajian mereka.
Katanya, beliau juga tertarik dengan keunikan menu di gerai berkenaan menggunakan nama Perdana Menteri serta beberapa nama menteri di dalam Kabinet untuk menarik minat orang ramai berkunjung ke gerainya itu.
“Waktu tengahari, saya bawa isteri ke Cyberjaya untuk cuba kedai makan yang tular dengan Menu Rahmah kreatif.
“Ada pelbagai menu dengan variasi nama menteri mengikut hari, dan kebetulan hari ini merupakan menu nama saya.
“Sambil menikmati nasi putih bersama pecel lele, sayur, dan air sirap, sempat saya berbual berkenaan kos operasi Menu Rahmah. Alhamdulillah masih ada untung untuk mereka,” ciapnya.
Katanya, komuniti di kawasan sekitar gerai berkenaan juga turut menyambut baik inisiatif menu berkenaan berikutan kebanyakan penduduk sekitar terdiri daripada pelajar universiti serta pekerja swasta dan kerajaan.
“Terima kasih kepada para peniaga yang melaksanakan inisiatif Menu Rahmah. Moga Allah melimpahkan rezeki anda semua,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE