JITRA – Seorang pemandu lori nekad memandu kenderaan itu terus ke Hospital Jitra dalam keadaan kelindan masih tersepit di tempat duduk penumpang hadapan akibat kemalangan dekat sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa berjaya dikeluarkan oleh kakitangan hospital sebelum diberikan rawatan di hospital tersebut.
Video kejadian yang memaparkan beberapa kakitangan hospital berusaha membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit itu turut tular di TikTok dan Facebook.
Difahamkan, lori tersebut terlibat kemalangan dengan mesin padi di Jalan Sungai Korok dekat sini.
Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr. Othman Warijo berkata, petugas hospital dikejutkan dengan ketibaan lori berkenaan yang berhenti di hadapan unit kecemasan.
“Pemandu lori didapati hanya mengalami kecederaan ringan, sementara kelindannya tersepit di tempat duduk penumpang.
“Melihat keadaan itu, petugas hospital berusaha mengeluarkan kelindan dan berjaya melakukannya. Kelindan lori tersebut terus dibawa ke zon merah untuk diberi rawatan,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, pihaknya tidak menerima sebarang panggilan kecemasan mengenai kemalangan membabitkan lori berkenaan sebelum itu.
Menurutnya, kelindan lori didapati mengalami kecederaan pada bahagian abdomen dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk tindakan lanjut.
“Pemandu lori juga diberikan rawatan dan dibenarkan pulang ke rumah,” katanya. – KOSMO! ONLINE