fbpx

PDRM hilang satu-satunya pegawai pingat tertinggi keberanian negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAMLI (kanan) menyatakan sesuatu kepada Abdul Razak yang bersara wajib bermula esok selepas Majlis Serah Terima Tugas jawatan Timbalan Ketua Polis Pahang dan Naib Pengerusi Perkep Kontinjen Pahang di Ibu Pejabat polis Kontinjen (IPK) Pahang di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal kehilangan satu-satunya pegawai polis yang memegang pingat tertinggi keberanian negara, Seri Pahlawan Gagah Perkasa (S.P), Datuk Abdul Razak Mohd. Yusoff.

Ini berikutan Abdul Razak yang merupakan Timbalan Ketua Polis Pahang akan bersara wajib esok.

Abdul Razak yang berkhidmat dalam PDRM selama 36 tahun empat bulan sebelum ini menjadi Komander 69 Komando sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Pahang selama enam bulan.

Bapa lima anak yang menyertai VAT 69 selama 35 tahun itu menjadi individu penting dalam menangani ancaman kumpulan Al-Maunah apabila mengambil risiko mengadakan perbincangan seorang diri dengan kumpulan militan itu yang akhirnya menyerah diri pada 2000.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, persaraan Abdul Razak bermula esok merupakan satu kehilangan besar PDRM terhadap pegawai kanan yang banyak menyumbang khidmat bakti dan jasa kepada negara, malah menjadi satu-satunya pegawai yang memegang pingat S.P.

“Dari segi kepakaran dalam Unit 69 Komando memang tidak boleh dinafikan lagi beliau terlibat dalam pelbagai operasi di hutan belantara dan perairan negara, malah terlibat dalam penugasan sebagai pengiring rapat Perdana Menteri dan pembesar negara yang datang ke Malaysia.

“Banyak operasi yang beliau jalani namun operasi yang melonjakkan namanya serta imej PDRM ialah menumpaskan Al-Maunah pimpinan Mohamed Amin Razali tanpa pertumpahan darah,” katanya pada Majlis Serah Terima Tugas jawatan Timbalan Ketua Polis Pahang dan Naib Pengerusi Perkep Kontinjen Pahang di sini hari ini.

Pada majlis itu, Ramli menyaksikan serah terima tugas jawatan Timbalan Ketua Polis Pahang kepada Senior Asisten Komisioner Noor Hisam Nordin yang akan memangku jawatan itu.

Dalam pada itu, Abdul Razak berkata, sepanjang perkhidmatannya dia sentiasa memberikan tumpuan dan melaksanakan kerja serta menabur jasa dengan ikhlas kepada PDRM dan negara.

Katanya, setelah 35 tahun berada dalam VAT 69 jiwa dan raganya sememangnya sudah sebati dengan pasukan elit komando polis berkenaan.

Ujarnya, dalam tempoh persaraannya beliau akan terus mendalami ilmu agama dan mula menulis buku tentang kehidupan yang berjasa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI