fbpx

Pameran mengenai Tuanku Abdul Rahman dibuka mulai hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TUNKU Shahariah Tuanku Abdul Rahman menandatangani plak perasmian sambil diperhatikan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar. -Foto oleh MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN/KOSMO!

SEREMBAN – Orang ramai kini berpeluang mengenang jasa, peranan dan ketokohan Almarhum Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad yang juga Yang di-Pertuan Agong pertama dalam Pameran Tuanku Abdul Rahman yang bermula hari ini.

Pameran itu yang diadakan di Galeri Diraja Tuanku Ja’afar dekat sini akan berlangsung sehingga penghujung tahun ini.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Galeri Diraja Tuanku Ja’afar, Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar berkata, pameran itu membolehkan orang ramai mengenali lebih dekat keperibadian Tuanku Abdul Rahman yang juga Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-8.

Beliau yang juga Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan berkata, para pelawat boleh melihat surat-surat peribadi dan bahan berkaitan baginda termasuk surat dari Sir George Maxwell.

“Selain itu, masyarakat boleh melihat dokumen berkaitan kemerdekaan Tanah Melayu yang mana baginda adalah Yang di-Pertuan Agong yang pertama.

“Kefahaman kita mengenai sejarah akan meningkatkan rasa cinta kepada negara dan menghargai erti kemerdekaan dengan lebih baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pameran Tuanku Abdul Rahman dan Meraikan 250 Tahun Institusi Diraja Negeri Sembilan di Galeri Diraja Tuanku Ja’afar di sini hari ini.

Majlis perasmian itu telah disempurnakan oleh puteri ketujuh Tuanku Abdul Rahman, Tunku Shahariah.

Yang turut hadir, Putera Yang Empat iaitu Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz; Tunku Laxamana Negeri Sembilan, Tunku Naquiyuddin Tuanku Ja’afar dan Tunku Muda Serting, Tunku Imran Tuanku Ja’afar.

Tuanku Abdul Rahman telah diisytiharkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-8 pada 1933 dan mangkat pada 1960 ketika menjawat jawatan Yang d-Pertuan Agong yang pertama.

Tunku Nadzaruddin menarik perhatian, sempema pameran itu, pihaknya turut meraikan institusi diraja Negeri Sembilan yang sudah berusia 250 tahun.

“Kita memperingati 250 tahun institusi diraja Negeri Sembilan sejak Raja Melewar ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Besar pada tahun 1773 hingga hari ini,” katanya.

Beberapa program telah dirancang sebagai pengisian pameran itu antaranya pertandingan melukis serta mewarna bagi kanak-kanak dan pelajar sekolah, seminar peranan wanita dalam kemerdekaan negara, dialog bersama anak tokoh-tokoh kemerdekaan dan seminar Negeri-Negeri Melayu Kurun ke-19. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI