fbpx

Mohamed Nazri dilantik duta baharu Malaysia ke AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Nazri

PUTRAJAYA – Teka-teki mengenai kedudukan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz akhirnya terjawab apabila beliau dilantik sebagai duta baharu Malaysia ke Amerika Syarikat (AS).

Perkara itu disahkan Wisma Putra menerusi kenyataan hari ini sebagai merujuk kepada istiadat penyerahan watikah pelantikan 10 ketua perwakilan diplomatik baharu.

Majlis penyampaian itu berlangsung di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini.

Berdasarkan kenyataan Wisma Putra, bekas Ahli Parlimen Padang Rengas itu dilaporkan memiliki pengalaman luas sebagai anggota pentadbiran negara sebelum ini.

Tokoh veteran UMNO berusia 68 tahun dan berasal dari Gerik, Perak itu dinyatakan juga pernah dilantik menjadi menteri untuk pelbagai portfolio sejak 2013 sehingga 2018 lalu.

Mohamed Nazri yang berkelulusan Lincoln’s Inn di Britain akan menggantikan tempat Datuk Azmil Mohd. Zabidi setelah bersara daripada perkhidmatannya pada Ogos 2021.

Turut menerima watikah pelantikan ialah bekas pegawai khas Menteri Luar, Datuk Abdul Malik Melvin Castelino Anthony yang akan menjadi duta baharu Malaysia ke Filipina.

Tidak ketinggalan Hendy San (Holy See), Hafizah Abdullah (Sweden), Gloria Corina Peter Tiwet (Brazil), Suzilah Mohd. Sidek (Czechia), Amarjit Singh Sarjit Singh (Timor-Leste), ‘Alaudiin Mohd. Nor (Kuwait) dan Ruzaimi Mohamad (Kenya). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI