fbpx

Mahkamah: Razman mohon maaf, kes saman fitnah Anwar selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razman (tengah) bersama peguamnya Naran Singh (kiri) dan peguam Anwar Ibrahim, S.N Nair (kanan) di Mahkamah Tinggi Taiping, Perak, hari ini.

KUALA LUMPUR – Kes saman fitnah oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Pesuruhjaya Pas, Razman Zakaria, selesai selepas Razman membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Perdana Menteri di Mahkamah Tinggi Taiping, Perak di sini, hari ini.

Saman itu berhubung ucapan Razman yang didakwa mengaitkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) tersebut membawa agenda songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Razman selaku defendan tunggal, membacakan kenyataan permohonan maaf di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Noor Ruwena Md Nurdin berkata ucapannya itu telah menyinggung perasaan dan memfitnah Anwar.

Dengan permohonan maaf itu, mahkamah kemudian merekodkan penyelesaian yang dicapai oleh kedua-dua pihak.

Dalam prosiding hari ini, Anwar diwakili peguam Datuk S.N. Nair, Jaden Phoon Wai Ken dan Wong Guo Jin manakala peguam Datuk Naran Singh mewakili Razman.

Sementara itu, Nair ketika dihubungi Kosmo! mengesahkan perkara tersebut dan memaklumkan bahawa anak guamnya menerima permohonan maaf itu.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Anwar selaku plaintif memfailkan saman itu pada 5 Disember 2022, mendakwa pada 6 November tahun lalu, defendan telah memberikan ucapan tersebut semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), di pasar malam Tebuk Pancur.

Plaintif berkata ucapan berkenaan disiarkan secara langsung melalui klip video di akaun Facebook defendan, yang mendapat tontonan melebihi 94,400 kali, melebihi 5,100 reaksi, 429 kali perkongsian dan melebihi 2,600 komen sehingga hari ini.

Menurut Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, siaran video langsung Facebook tersebut kemudian diterbitkan menerusi artikel bertarikh 6 November 2022 dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, di dalam sebuah portal berita.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata kata-kata fitnah tersebut dibuat untuk menjatuhkan reputasinya dan dakwaan dalam artikel berkenaan adalah tidak benar, kerana plaintif sentiasa memperjuangkan ajaran dan nilai teras Islam selain mendakwa ia dibuat bertujuan untuk mencemarkan nama baiknya, dengan menghasut orang ramai serta menimbulkan kebencian terhadapnya dan partinya semasa tempoh berkempen untuk PRU15.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, pampasan, teruk dan teladan serta memohon perintah injunksi untuk menghalang defendan atau ejennya daripada terus mengungkapkan atau menyebabkan penerbitan artikel memfitnah yang serupa selain menuntut kos, faedah dan relif lain yang sesuai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI