KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini, menjatuhi hukuman penjara enam tahun terhadap seorang pemuda kerana melakukan persetubuhan luar tabii ke atas adik tirinya yang masih di bawah umur, lima tahun lalu.
Hakim Tasnim Abu Bakar memutuskan demikian selepas lelaki berumur 23 tahun itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan pindaan melakukan perbuatan itu terhadap mangsa yang ketika kejadian berusia lapan tahun.
Kesalahan dilakukan di sebuah rumah pangsa Jalan Sungai Baru, Kampung Baru di sini pada 2 petang sekitar 2018.
Tertuduh yang ketika kejadian berusia 18 tahun didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan.
Tasnim memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 15 November 2021. Lelaki itu turut diperintah mengikuti kaunseling di penjara selain dalam pengawasan polis selama dua tahun selepas menjalani hukuman.
Mengikut fakta kes, pada awal November 2021, semasa mangsa bersama ibunya di rumah, wanita itu berpesan supaya tidak membenarkan orang lain memegang di tempat yang tidak sepatutnya seperti buah dada dan kemaluan.
Kanak-kanak itu kemudian diam lalu menangis dan menyatakan bapa dan abang tiri pernah melakukan perkara yang tidak sepatutnya terhadapnya semasa ibunya tiada di rumah, namun tidak memberitahu sesiapa kerana ketakutan.
Semasa rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia yang tidak mempunyai pekerjaan tetap perlu menyara dua adik berumur 20 dan 18 tahun yang masih belajar.
Timbalan Pendakwa Raya, Julaila Jamaludin memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh kerana semasa kejadian mangsa berumur lapan tahun.
“Sebagai abang, dia sepatutnya menjaga serta mendidik adik yang masih kecil dengan perkara yang baik bukan bertindak sedemikian.
“Akta kanak-kanak masih terpakai kepada tertuduh kerana semasa kejadian tertuduh berumur 18 tahun dan masih lagi dikategorikan seorang kanak-kanak.
“Oleh itu, pihak pendakwaan memohon hukuman pemenjaraan terhadap tertuduh dan dia perlu menjalani sesi kaunseling di dalam penjara selain berada dalam pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman,” kata Julaila. – KOSMO! ONLINE