PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan jadual untuk skuad Harimau Malaya pada tahun ini sudah ‘padat’ sebagai persiapan sebelum mengharungi kempen Piala Asia 2023 yang dijadualkan pada Januari 2024.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, empat perlawanan persahabatan sudah dirangka pada Mac dan Jun tahun ini dengan empat lagi aksi pada kalendar antarabangsa September dan Oktober depan.
“Sebenarnya kita sudah boleh sahkan dua pasukan lawan yang akan kita temui pada Mac depan, tetapi lebih baik Kim Pan-gon (ketua jurulatih Malaysia) yang buat pengesahan (dijangka) dalam minggu ini.
“Apa yang boleh saya katakan kita akan bermain dua perlawanan pada Mac, dua lagi pada kalendar antarabangsa Jun depan, September dan Oktober pun masing-masing akan ada dua perlawanan,” katanya.
Bagaimanapun, Hamidin mengakui pihaknya perlu meneliti terlebih dahulu bagi jadual bulan September dan Oktober kerana sudah merancang untuk menganjurkan semula Pestabola Merdeka tahun ini.
“Saya telah bertemu Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) baru-baru ini dan mereka menyatakan padang baharu Stadium Nasional Bukit Jalil dijangka siap pada pertengahan September.
“Justeru, mereka berminat untuk merasmikan padang baharu itu sempena Pestabola Merdeka, tetapi saya berpendapat dianjurkan pada Oktober lebih selamat.
“Cuma, saya risau jika kita perlu mengharungi aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Oktober, tetapi segala keputusan bergantung dengan ranking semasa skuad negara nanti,” katanya.
Skuad negara sebelum ini telah bersaing pada kempen Piala AFF 2022 yang berakhir bulan lepas apabila tewas di separuh akhir dengan kekalahan agregat 1-3 kepada Thailand.