ROM – Tenaga yang dikeluarkan oleh gempa bumi berkembar sehingga menggegarkan 10 wilayah di selatan Turkiye adalah 130 kali lebih kuat berbanding di Itali pada 2016, kata seorang saintis Itali terkenal seperti didedahkan oleh laman berita Yeni Safak, hari ini.
Carlo Doglioni iaitu Ketua Institut Geofizik dan Vulkanologi Kebangsaan Itali (INGV) lberkata, plat Anatolia mungkin telah bergerak sekitar 3 meter (m) akibat daripada kejadian gempa bumi yang pertama.
Bagaimanapun, katanya, gempa bumi kedua yang berlaku pada tengah hari Isnin lalu sepatutnya memindahkan plat pada jarak yang lebih jauh.
“Terdapat pengumpulan tenaga yang telah berlaku selama beberapa dekad di mana gempa bumi berlaku. Ia tidak dapat menahan tenaga lagi manakala plat Anatolia terus bergerak ke arah barat daya. Akibatnya, tenaga terkumpul dibebaskan,” kata Doglioni.
Beliau berkata demikian kepada agensi berita Anadolu Agency.
Sekurang-kurangnya lebih 12,000 orang terbunuh dan lebih 60,000 lagi cedera akibat dua gempa bumi kuat yang menggegarkan selatan Turkiye pada Isnin lalu.
Gempa bumi berukuran 7.7 dan 7.6 magnitud itu berpusat di wilayah Kahramanmaras dan ia dirasai oleh 13 juta orang di 10 wilayah termasuk Adana, Adıyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kilis, Malatya, Osmaniye serta Sanliurfa. – Agensi