MANCHESTER – Kumpulan pelaburan dari Qatar dilaporkan bersedia untuk menjadi pemilik baharu kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United dengan menawarkan dana lumayan untuk perbelanjaan kelab pada masa akan datang.
Difahamkan, syarikat tersebut akan dibentuk menerusi gabungan beberapa individu elit dan berpengaruh dari Qatar yang berjaya memastikan negara tersebut menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022 dengan penuh berjaya tahun lalu.
Tawaran tersebut akan dilakukan dalam masa terdekat sesuai dengan tarikh akhir yang diberikan oleh pemilik United, Keluarga Glazer untuk mana-mana syarikat atau individu yang mahu memiliki United.
Sebelum ini, Keluarga Glazer telah meletakkan tanda harga sebanyak £6 bilion (RM31 bilion) untuk mereka yang berminat menjadi pemilik baharu The Red Devils.
Namun, apa yang menjadi penghalang ketika ini apabila terdapat laporan bahawa mereka adalah individu yang sama berada dalam syarikat Pelaburan Sukan Qatar (QSI) yang menjadi pemilik Paris Saint-Germain (PSG) ketika ini.
Sekiranya benar, proses pemilikan itu tidak boleh diteruskan kerana United dan PSG berkemungkinan berada dalam kancah Liga Juara-Juara dan syarat yang ditetapkan oleh Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) tidak membenarkan pemilik yang sama bertemu dalam satu kejohanan.
Menurut sumber, semua individu dari Qatar ini tidak mempunyai masalah untuk melaburkan dana yang besar buat United.
“Wang bukan masalah dan mereka sudah menyediakan kertas kerja yang menyaksikan tawaran mereka adalah yang terbaik untuk jangka panjang.
“Mereka juga memberi jaminan untuk mendapatkan pemain terbaik bagi membantu United kembali berada di puncak memandangkan United adalah kelab terbesar dunia,” katanya. – AGENSI