PUTRAJAYA – Penjawat awam diseru untuk mencontohi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turun padang bagi bertemu dengan rakyat untuk medengar keluhan, aduan dan cadangan dalam usaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, sebaik sahaja Anwar dilantik untuk menerajui negara, perkara pertama yang dilakukan beliau adalah memfokuskan kepada isu kos sara hidup rakyat.
“Saya masih ingat ketika itu Kabinet belum lagi dibentuk dan hanya Perdana Menteri yang telah dilantik namun beliau telah memanggil satu mesyuarat khas bagi membincangkan tentang isu kos sara hidup selepas tiga hari menjadi perdana menteri.
“Ini menggambarkan kesungguhan beliau untuk melihat agar isu-isu rakyat diberi perhatian khusus bukan sahaja oleh kerajaan tapi juga kita semua penjawat awam,” ketika berucap pada Majlis Amanat Ketua Setiausaha Negara Tahun 2023 di sini, hari ini.
Menurut Mohd. Zuki, Anwar turut menjadikan aktiviti turun padang pada setiap Jumaat untuk bersolat dan makan tengah hari bersama rakyat di pelbagai lokasi di seluruh negara.
“Ia bukan semata-mata untuk menikmati makanan bersama rakyat namun lebih kepada untuk mengambil peluang bagi mendengar keluh kesah, aduan malah cadangan daripada rakyat sendiri.
“Perkara ini boleh dijadikan sebagai contoh oleh setiap kita ketua-ketua jabatan untuk sama-sama turun padang kerana bila kita sendiri melihat apa yang dilalui oleh rakyat maka lebih mudah untuk kita memahami dan menghayati permasalahan tersebut,” jelasnya.
Ujar Mohd. Zuki, adalah menjadi kebimbangan beliau sekiranya sesuatu keputusan dibuat dalam keadaan berada di pejabat dan lebih kepada kertas atau cadangan yang diangkat oleh pegawai-pegawai semata-mata.
“Kadang-kadang bila kita buat keputusan, kita banyak berada di pejabat lebih kepada kertas atau cadangan yang diangkat oleh pegawai dan saya khuatir kalau-kalau kita tidak dapat menghayati isu sebenar yang dihadapi rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE