LONDON – Berkahwin boleh membantu golongan pertengahan umur dan lebih berusia mengawal kadar gula dalam darah mereka dengan lebih baik, demikian menurut satu kajian terbaharu seperti dilaporkan agensi berita United Press International, semalam.
Mereka yang tinggal bersama pasangan masing-masing didapati lebih mampu mengekalkan paras gula lebih rendah berbanding golongan bujang, kata penemuan kajian tersebut.
Bagi menjayakan kajian tersebut, sekumpulan penyelidik menilai data daripada lebih 3,300 orang berumur 50 hingga 89 tahun yang tinggal di England antara 2004 hingga 2013.
Para peserta dalam kajian itu tidak menghidap diabetes tetapi mereka mempunyai sampel darah bagi mengetahui purata paras gula darah dan ditanya sama ada sudah berkahwin atau tinggal bersama seseorang.
Mereka turut menjawab soalan-soalan untuk mengukur sejauh mana tahap pergaulan dalam hubungan masing-masing.
Hasilnya mendapati, mereka yang sudah berkahwin atau tinggal bersama pasangan cenderung mengalami penurunan paras gula darah sebanyak 0.21 peratus berbanding golongan bujang, demikian menurut keputusan kejadian tersebut.
Bagaimanapun, jika pasangan-pasangan itu berpisah, paras gula dalam darah mereka meningkat, kata kajian tersebut.
Kajian diterbitkan dalam jurnal BMJ Open Diabetes Research & Care itu diketuai oleh Dr. Katherine Ford dari Universiti Cerleton dan Annie Robitaille yang bertugas di Universiti Ottawa, Kanada. – Agensi