ANKARA – Sekeping gambar memaparkan seorang bapa menggenggam erat tangan anak perempuannya yang mati selepas terperangkap di bawah kepingan konkrit, meruntun hati orang ramai di seluruh dunia.
Gambar itu dirakam ketika Turkiye dan Syria terus bergelut selepas gempa bumi kuat berganda mengorbankan lebih 7,000 orang di kedua-dua negara setakat kelmarin.
Menurut akhbar New York Post, gambar itu dirakam di bandar Kahramanmaras, Turkiye di mana pasukan penyelamat terus bertungkus lumus mengalihkan sisa runtuhan selepas gempa berukuran 7.8 pada skala Richter itu berlaku Isnin lalu.
Mesut Hancer yang berpakaian kot oren duduk di atas timbunan serpihan dan memegang erat tangan anak perempuannya, Irmak, 15, yang terjulur keluar dari bawah bongkah konkrit besar yang tumbang dan menghempap dirinya.
Seorang pegawai Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) sebelum ini memberi amaran bahawa ribuan kanak-kanak antara mangsa yang terkorban.
Agensi berita The Associated Press pula melaporkan senario seorang lelaki Syria mendukung gadis yang sudah meninggal dunia sambil berjalan meninggalkan timbunan serpihan bangunan dua tingkat yang runtuh.
Lelaki itu kemudian meletakkan mangsa di bawah selimut untuk melindunginya daripada hujan, sebelum membungkus mayat dengan selimut besar.
Terdapat juga laporan mengenai kanak-kanak diselamatkan dari bangunan runtuh, termasuk seorang bayi baru lahir yang ditemui dalam keadaan tali pusat masih bersambung dengan ibunya. Wanita itu meninggal dunia di rumahnya di utara Syria.
Di bandar Jinderis, barat laut Syria, gadis bernama Nour berjaya ditarik keluar dalam keadaan masih hidup dari bawah serpihan bangunan.
Seorang anggota penyelamat memegang kepala mangsa dan mengelap debu pada matanya dengan lembut.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, angka kematian akibat gempa bumi awal dan gegaran susulan di Turkiye serta Syria boleh mencecah 20,000 orang.
“Ini adalah perlumbaan dengan masa. Setiap minit dan jam berlalu menandakan peluang untuk menemui mangsa yang masih hidup makin tipis,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus. – Agensi