PETALING JAYA – Jangan mengamalkan ‘settle tepi’ jika anda terlibat dalam kemalangan, kelak ia boleh memakan diri sekiranya gagal untuk membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.
Itu nasihat seorang peguam bela dan peguamcara dikenali sebagai Lawyer Ghandhi menerusi penjelasan pada akaun TikTok.
Ujarnya, tindakan ‘settle tepi’ selepas berlaku kemalangan serta tidak membuat laporan polis boleh mengundang risiko bahaya kepada diri sendiri.
“Boleh makan diri lebih-lebih lagi jika pihak terlibat tidak mahu bayar, melarikan diri atau membuat laporan polis tanpa pengetahuan anda.
“Selain itu, pihak insurans juga akan menolak tuntutan kalau tiada laporan polis. Lebih parah, pihak insurans tidak akan bela anda jika pihak ketiga mengambil tindakan mahkamah,” katanya menerusi penjelasan video tersebut.
Justeru, laporan polis harus dibuat segera atau dalam tempoh 24 jam selepas terlibat kemalangan.
“Penalti seperti denda atau penjara boleh dikenakan jika anda gagal membuat laporan polis,” katanya. – KOSMO! ONLINE