fbpx

Agrobank lancar Bank Bergerak pertama di Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Sabu (tengah) melancarkan Bank Bergerak Agrobank di Kota Kinabalu, Sabah.

PETALING JAYA – Agrobank melancarkan Bank Bergerak pertamanya di Sabah sebagai usaha bank tersebut membantu memudahkan urusan perbankan penduduk di negeri tersebut menerusi mesin pengeluaran wang automatik dan deposit (ATM) serta khidmat nasihat berkaitan produk bank.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, pihaknya sentiasa beriltizam untuk meningkatkan pembangunan luar bandar ke arah  mencapai rangkuman kewangan dengan memperluaskan akses pembiayaan kepada golongan yang kurang mendapat liputan.

Menurut beliau, pihaknya amat berbesar hati memperkenalkan perkhidmatan perbankan bergerak ini dan berbangga bahawa Agrobank adalah bank pertama yang menyediakan perkhidmatan eksklusif ini kepada penduduk di sekitar Lahad Datu, Tawau dan Beaufort. 

“Perkhidmatan ini penting kerana penduduk dianggarkan perlu mengambil masa sekurang-kurangnya satu jam dan enam belas minit dengan jarak 73.8 km untuk ke pekan terdekat bagi mendapatkan akses perbankan.

“Usaha ini bukanlah yang pertama daripada Agrobank. Sebelum ini, inisiatif seumpama ini pernah diperkenalkan pada tahun 1970-an yang dikenali sebagai Bank Bergerak Bank Pertanian Malaysia. 

“Pada November 1994, Agrobank turut menyediakan bank terapung pertama di Malaysia yang dikenali sebagai Patriot Rejang yang menyusuri Sungai Rejang untuk menyediakan akses perbankan asas bagi komuniti di sekitar Kapit, Sibu dan Belaga di Sarawak. 

“Terbaharu pada tahun 2022, Agrobank turut melancarkan Bank Bergerak dengan mekanisme yang sama di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini bersempena majlis pelancaran Bank Bergerak di Sabah yang telah disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Datuk Seri Mohamad Sabu.

Tengku Ahmad Badli menerangkan, lokasi perkhidmatan perbankan Agrobank kebanyakannya terletak di kawasan luar bandar dan pihaknya percaya bahawa perkhidmatan kewangan yang komprehensif merupakan tunjang utama untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi sekali gus meningkatkan pemerkasaan individu dan komuniti.

Bank Bergerak ini adalah program bantuan yang disediakan kerajaan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulih Ekonomi (Pemulih) dengan peruntukan sebanyak RM18 juta untuk membantu segmen yang kurang mendapat liputan ke arah pengukuhan ekonomi yang lebih baik. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI