fbpx

Zii Jia kekal tanpa sentuhan jurulatih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZII JIA tidak ada perancangan untuk melantik jurulatih dan mahu bergerak secara solo tanpa bimbingan sesiapa.

PERSEORANGAN lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia tetap de­ngan pendirian untuk terus ber­aksi tanpa bimbingan jurulatih meskipun sudah diberi saranan oleh beberapa bekas pemain kebangsaan.

Terbaharu, legenda badminton tanah air, Datuk Rashid Sidek menasihatkan pemain No. 4 dunia itu supaya membentuk satu pasukan yang turut dibarisi seorang jurulatih dalam usaha kembali mendapatkan prestasi terbaiknya.

Bagaimanapun, Zii Jia tanpa berselindung mengakui tidak ada perancangan untuk melantik jurulatih selain menjelaskan dia tetap menghormati pandangan-pandangan yang diberikan bekas pemain negara.

“Pertama sekali saya mahu cakap yang saya bukan enggan mengulas komen-komen yang diberikan sebelum ini. Tindakan saya itu bukanlah untuk tidak menghormati mereka, saya tetap hormat kerana mereka adalah legenda.

“Apa yang mereka bagi (pandangan) itu saya terima sahaja tetapi saya tidak boleh layan semua kerana satu komen ini dan satu komen itu. Kalau saya layan banyak, tak betul juga kerana saya pun tidak ada banyak masa sangat,” kata juara Asia itu.

Terdahulu, beberapa bekas pemain termasuk Rashid, Roslin Hashim dan Datuk James Selvaraj menyarankan Zii Jia supaya melantik seorang jurulatih apabila prestasinya dilihat merudum selepas berpisah dengan pengendali terdahulu, Indra Wijaya November tahun lalu.

Dalam perkembangan sama, pemenang kejohanan Seluruh England (All England) 2021 itu menegaskan, fokusnya selepas ini adalah untuk pandang ke hadapan dan bergerak secara solo tanpa jurulatih.

“Saya hanya mahu fokus apa yang ada di depan saya sekarang dan saya perlu lakukannya. Secara jujur, setakat ini memang saya tidak ada fikir untuk ambil jurulatih dan tetap dengan pendirian itu,” ujar Zii Jia.

Dia kini sedang menjalani latihan pusat bersama skuad kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara sebagai persiapan bagi menghadapi Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) 14 hingga 19 Februari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI