fbpx

Tindakan banteras rasuah bukan dendam politik – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (tengah) ketika hadir pada Majlis Perhimpunan Bulanan MOF di Kementerian Kewangan hari ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA / KOSMO!

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan jabatan penguat kuasa untuk mengambil tindakan tanpa mengira kedudukan dan fahaman politik, sebaliknya berdasarkan fakta atas sebarang perlanggaran hukum yang dikesan berlaku.

Katanya, segala tindakan menangani rasuah dan salah guna kuasa bukan bersifat dendam politik, namun ia merupakan satu tekad untuk tidak lagi bertolak ansur dalam melaksanakan perubahan serta memperbaiki kepincangan sistem sedia ada.

Beliau berkata, usaha memperbetulkan sistem adalah lebih sukar berbanding mematuhi arahan, apatah lagi jika ada ‘fatwa’ daripada atasan yang kadang-kadang pegawai terpaksa mematuhi dan tidak banyak pilihan.

“Kalau kita hanya ikut sistem lama, kita pun kaya, keluarga pun kaya dan bantahan itu tidak kuat kalau sistem itu semuanya sistemik. Masalah rasuah itu dianggap sistem yang diterima pakai.

“(Cabaran) kita berdepan mahakaya dan mahakuasa dengan gelaran tinggi, datuk seri, tan sri, tun, tetapi kita bersedia (lakukan perubahan).

“Semua ada kelemahan, tapi kalau ada tekad membawa perubahan, Insya-Allah kita dapat lakukan walaupun bantahan kuat,” katanya ketika berucap dalam perhimpunan bulanan bersama warga Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau sedar banyak tentangan terhadap usahanya dalam membetulkan kekhilafan soal kewangan yang dirompak sehingga ada yang menggunakan atas nama Melayu dan agama Islam tanpa melihat laporan daripada badan penguat kuasa.

Jelasnya, mereka yang membuat bantahan itu akan melabelkan tindakan membersihkan salah laku itu sebagai satu tindakan politik.

Katanya lagi, pasukan jemaah menteri turut membuat satu ketetapan jelas untuk tidak mengizinkan segala amalan dan budaya melampau itu diteruskan selain sebarang arahan pelaksanaan tugas, menguruskan kontrak atau projek yang tidak menepati peraturan tidak boleh dipakai lagi.

“Sekarang ini terserah kepada ketua pengarah, ketua bahagian, pimpinan kementerian untuk memastikan hal ini tidak berlaku di semua peringkat.

“Saya tidak menuju sesiapa, tetapi seperti mana saya sebut berulang kali negara ini tercemar, walaupun nak pertahan macam mana sekali pun, satu dunia tahu Malaysia tercemar kerana masalah sistemik.

“Bukan hanya satu orang terlibat, kleptokrat itu lebih kepada sistem iaitu ramai terlibat, ada yang disiasat dan belum, ada didakwa dan belum didakwa tapi tak perlulah pimpinan politik uar-uarkan soal kebersihan melainkan mereka dapat catat rekod atau prestasi baik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI