PERNAH jatuh, merangkak dan kemudian kembali bangkit, situasi terpuruk yang dilalui Hafiz Hamidun sama seperti individu lain saat dihenyak realiti kehidupan penuh mencabar.
Bukan tidak berduka, dia sentiasa positif dengan perjalanan kehidupan yang bersulam suka-duka.
Bonusnya, setiap emosi membuka ruang buat Hafiz berkarya. Terbaharu, dia menghadiahkan sebuah lagu berjudul Inni Tawakkaltu sebagai bingkisan semangat buat semua.
“Kesedihan dan kesusahan yang kita alami tidak selalunya difahami semua orang.
“Jadi saya harap lagu ini boleh menjadi penguat semangat untuk semua supaya terus berusaha dan akhirnya berserah dan tawakal kepada Allah SWT,” ujarnya.
Tenang
Tahun 2023 yang masih bugar dengan harapan baharu dianggap Hafiz sebagai penyulih sinar yang lebih cerah dan indah.
Kehidupannya semakin bahagia dengan adanya keluarga, rakan-rakan dan mereka yang sentiasa menyokong kerjayanya sekama ini.
Pada usia menjengah 39 tahun, tiada lagi obsesi terhadap populariti dan dunia glamor yang sebelum ini pernah dikecapinya.
“Apa yang saya inginkan sekarang adalah ketenangan dan perkara-perkara yang tidak merumitkan fikiran.
“Saya lebih senang menghabiskan masa bersama keluarga terutama anak, Hamdee. Fokus saya lebih terarah untuk perkara santai, tidak seperti 20 tahun lalu ketika mula-mula menjadi artis,” luahnya.
Antarabangsa
Berkongsi lanjut tentang Inni Tawakkaltu, demi mendapatkan hasil terbaik dan berkualiti, Hafiz tidak lokek mengeluarkan belanja demi menampung kos pembikinan single tersebut apabila menggunakan khidmat pemuzik luar negara.
Kongsinya, dia mendapatkan khidmat pemuzik antarabangsa iaitu orkestra dari Istanbul, Turkiye, selain proses adunan dan mastering pula mendapat sentuhan jurutera muzik antarabangsa, Greg Henderson dan Don Bartley dari Australia.
Tidak melupakan khidmat anak tempatan, single Inni Tawakkaltu turut mendapat sentuhan rakan lamanya iaitu Rifaiee yang bertindak selaku pengarah video muzik lagu tersebut.
“Sebenarnya 12 tahun lalu, Rifaiee dan kru daripada RIO Production merakamkan video zikir untuk album Zikir Terapi Diri. Sejak itu, kami banyak bekerjasama,” kongsinya.
Menariknya, lirik lagu tersebut ditulis oleh ITO Lara yang terkenal menerusi lagu nasyid puitis popular seperti Kasih Kekasih dan Nur Kasih (Inteam), Tangis Sebatang Tamar (Dakmie) dan Ainul Mardhiah (UNIC).
“Semasa bersama UNIC suatu masa dahulu, ITO Lara banyak menyumbang karya untuk kumpulan itu.
“Lebih dua dekad lamanya kami kenal dan bekerjasama, kali ini saya pelawa dia menulis sebuah karya yang sesuai,” ujar Hafiz.
Inni Tawakkaltu terbitan Arteffects Sdn. Bhd. dan edaran Universal Music Malaysia kini terhidang dalam semua semua platform penstriman sejak 27 Januari lalu.