PETALING JAYA – “Apakan daya, ‘kualiti’ sebegini yang ditagihkan.”
Demikian luahan penyanyi Sharul Kamal apabila melihat klip video pendek pempengaruh TikTok, Ratu Farah yang diundang menjadi tetamu dalam rancangan MeleTop bagi mempromosikan lagu singlenya Slebew Sikok Bagi Dua.
Menurut pemilik nama lengkap Muhammad Shahrul Amin Kamarozaman, kesungguhannya dalam menghasilkan lagu berkualiti disia-siakan apabila tidak dapat dipromosikan dalam rancangan televisyen.
“Saya bekerja keras bertahun-tahun untuk menghasilkan lagu yang ada kualiti.
“Kemudian mahu promosikan lagu dalam program televisyen yang mempunyai ‘rating’ tinggi seperti MeleTop,” katanya menerusi ciapan Twitter baru-baru ini.
Bagaimanapun, Sharul berkongsi rasa kecewa apabila dia sering menerima jawapan perlu menunggu kekosongan slot jika mahu mempromosikan hasil karyanya.
“Namun, sayang selalu menerima jawapan ‘nanti kami memeriksa slot’,” ujarnya lagi.
Meninjau dalam ruangan komen, ramai netizen yang bersetuju dengan kenyataan penyanyi berusia 27 tahun itu dan terus memberikan sokongan kepadanya.
“Sabar sahajalah. Zaman sekarang perkara-perkara sebegini digemari sebab mahu naikkan ‘rating’.
“Perkara begini sepatutnya masuk Motif Viral sahajalah atau kalau orang mahu tengok yang sebegitu pergi ke aplikasi TikTok.
“Jangan pernah lelah untuk menghasilkan karya bermutu,” demikian komen-komen netizen.
Terdahulu, Ratu Farah yang terkenal dalam TikTok muncul dalam rancangan MeleTop bersama-sama Haqiem Rusli, Afieq Shazwan dan Tuah Adzmi, semalam.
Selain menyanyikan lagu singlenya, Ratu turut menampilkan aksi tarian yang melampau dan nyanyian teruk sehingga mengundang kecaman netizen yang mempersoalkan mengapa dia boleh diundang selaku tetamu dalam program berkenaan. – KOSMO! ONLINE