PETALING JAYA – Menjadi orang terkenal tidak menjadi satu beban besar buat pelakon Hollywood, Paul Rudd yang popular menerusi karakter adiwira Marvel, Ant-Man.
Walaubagaimanapun, buat Paul atau nama sebenarnya, Paul Stephen Rudd, apa yang ditakutinya adalah kesan populariti atau fame terhadap dua anaknya, Jack Sullivan, 17, dan Darby, 13.
“Satu perkara pelik menjadi orang terkenal. Saya dah bekerja sebagai seorang pelakon sangat lama. Saya rasa agak membosankan apabila sebilangan pelakon mengeluh tentang betapa popular diri mereka (ketawa).
“Sebab bagi saya, ada sesuatu yang seronok tentangnya (menjadi terkenal). Misalnya, kita dapat melihat banyak perkara dan mudah meraih banyak peluang.
“Apa yang takutkan adalah kesan menjadi orang terkenal terhadap anak-anak saya. Kalau boleh saya nak lihat benda ini (populariti) dari kaca mata mereka (anak).
“Terutama apabila mereka masih kecil, saya sangat gementar kalau mereka tidak boleh berdepan dengan fakta bapa mereka orang yang dikenali dunia,” katanya secara eksklusif kepada Kosmo! Online.
Paul, 54, yang ditemu bual dalam satu wawancara virtual bersempena filem terbaharunya, Ant-Man and the Wasp: Quantumania berkata, dia tidak mahu anak-anaknya berasa janggal atau tidak selesa memiliki orang tua yang dikenali seluruh dunia.
“Saya cuma nak anak-anak saya memiliki kehidupan yang normal seperti kanak-kanak lain. Saya percaya menjadi satu perkara yang sukar mempunyai orang tua yang dikenali ramai. Saya pun tak tahu bagaimana mereka berdepan dengan semua itu.
“Jadi, perkara yang saya ambil kisah adalah bagaimana populariti memberi kesan terhadap anak-anak yang saya sayangi.
“Dalam skema atau erti kata lain yang lebih meluas, saya jadi lebih reclusive (tidak senang bergaul). Dan, saya merasakan bahawa dunia saya umpama jadi lebih kecil berbanding sebelum menjadi terkenal.
“Sungguhpun begitu, saya suka apa yang buat sekarang. Saya penghormatan menjadi seorang aktor terutama berkerja dalam projek Marvel. Saya bersyukur jadi orang popular dan ia satu benda yang baik cuma bagaimana cara kita mengendalikan hidup sebagai orang terkenal,” ujarnya.
Paul bakal muncul dengan filem terbaharu, Ant-Man and the Wasp: Quantumania yang akan menyaksikan Scott Lang lakonannya berdepan villain baharu berkuasa luar biasa, Kang the Conqueror (Jonathan Majors).
Filem arahan sutradara Peyton Reed itu yang merupakan karya pertama Phase 5 Marvel akan ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 16 Februari 2023. – KOSMO! ONLINE