GEORGE TOWN – Golongan suri rumah kini dikatakan mula mengubah trend membeli sayur-sayuran dengan pekebun setempat selain pasar mini dalam kuantiti yang sedikit.
Rata-rata yang ditemui Kosmo! di sini semalam mengatakan, kenaikan harga mendadak bagi sayur-sayuran segar terutama yang dijual di pasar awam telah mengubah cara pembeliannya.
Ketika ini, sayur-sayuran seperti kangkung, taugeh dan sawi yang kebanyakannya boleh didapati atau mudah ditanam pekebun setempat di negeri ini menjadi pilihan utama mereka.
Seorang suri rumah, Norhayati Mahmud, 60, berkata, dia lebih berpuas hati dan selesa membeli aneka sayur-sayuran hanya di pasar raya atau pasar mini berbanding di pasar basah.
Akuinya, harga pelbagai jenis tumbuhan hijau yang sudah siap dipek atau dibungkus dijual di pasar raya kini sememangnya amat berbaloi dari segi penetapan harga.
“Harga sayur-sayuran di ‘supermarket’ boleh didapati pada harga serendah RM2 dan RM3 sepeket terutama cili hidup, timun, bendi atau sawi.
“Buat apa nak belanja wang yang banyak semata-mata mahu membeli sayur. Cukup sekadar ambil syarat, sebagai pelengkap untuk menu masakan sahaja,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Sementara itu, seorang lagi suri rumah, Farahidah Hasan, 40, menambah, kenaikan harga sayur sehingga 160 peratus terutama bendi di pasaran kini telah mengubah menu masakan kepada berkuah atau bersup dan goreng.
“Buat sementara waktu, saya kurang memilih beli sayur-sayur yang mahal seperti bendi, tomato, kacang panjang dan terung bulat yang kebiasaannya digunakan untuk membuat gulai atau kari ikan dan udang,” katanya.