fbpx

‘Sayang selalu’ Sissy, Mas Idayu tiada sentimen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Tiada lagi sentimen benci mahupun pilih kasih.

Itu yang dapat diselami menerusi adegan pelukan mesra Mas Idayu dan Sissy Imann di pentas akhir Famili Duo, Ahad lalu.

Bukan sahaja menamatkan spekulasi perang dingin kedua-dua susulan insiden air mata, rajuk dan kecaman hebat sejak lebih dua minggu lalu, tindakan tersebut turut membuktikan nilai kasih sayang lebih besar daripada kebencian yang dicanang ramai.

Selain disaksikan regu duo yang juga sepupu penyanyi berusia 27 tahun itu, Naim Daniel, momen menggembirakan usai penyampaian hadiah pertandingan tersebut turut disertai seorang lagi juri, Ajai.

Bukan sekadar dirakam serta dikongsikan peminat yang berada di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Sissy turut berkongsi kenangan bersama Mas Idayu yang dipanggil mummy menerusi Instagramnya.

“Sayang selalu,” luah penyanyi merangkap komposer yang menyertakan gambar penuh erti itu untuk tatapan pengikut laman sosial dan peminat setianya.

Ringkas dan penuh makna, momen tersebut tidak memerlukan kapsyen panjang bagi memperincikan situasi yang pernah tercetus hingga menjadi kontroversi panas dan menuai pandangan ramai selebriti lain.

Hujung minggu lalu, Sissy dan Naim yang kembali ke pentas akhir program terbitan TV3 itu dengan semangat membara meraih pujian kedua-dua juri tetap yang berbangga melihat perkembangan mereka.

Pada malam berkenaan pasangan duo tersebut berada di tangga keempat dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000.

Sementara itu, dalam ruangan komen Instagram pelantun lagu Keliru itu, rata-rata pengikutnya bersyukur dengan kemesraan yang terjalin semula selepas melalui episod panas.

“Bagus Sissy Imann dan Mas Idayu.Netizen sudah-sudahlah. Adatlah emosi,” komen seorang warganet.

“Alhamdulillah, buang yang keruh ambil yang jernih,” kata pengikut lain pula.

“Minta maaf atau memaafkan tak rugi pun. Kita manusia buat yang baik sahaja, lain serahkan pada Allah,” tambah seorang pengguna laman sosial.

Menerusi ruangan komen yang sama, ada dalam kalangan netizen yang turut memuji sikap kedua-dua selebriti tersebut kerana meletakkan ego masing-masing ke tepi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI