PUTRAJAYA – Syarikat penerbangan tambang rendah Oman, SalamAir bakal memulakan operasi berjadual ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada awal Julai depan.
Menurut hantaran Kedutaan Besar Malaysia di ibu kota, Muscat, operator udara negara itu akan melakukan penerbangan pada setiap Isnin dan Jumaat yang bermula 3 Julai depan.
Katanya, pihak kedutaan berasa gembira dengan perkembangan itu di mana ia dilihat mampu melonjakkan lagi aliran penumpang antarabangsa dari Oman dan juga sebaliknya.
“KLIA merupakan destinasi kedua di rantau Asia Tenggara selepas Phuket, Thailand yang memiliki penerbangan terus SalamAir.
“Bagi warga Oman dan penduduk asing yang ingin ke ASEAN, operasi SalamAir ke KLIA akan memberi pilihan kepada penerbangan sambungan lain dari Malaysia,” katanya hari ini.
Ketika ini hanya syarikat penerbangan kebangsaan bertaraf premium, Oman Air yang melaksanakan penerbangan berjadual ke KLIA iaitu pada Ahad, Isnin, Khamis dan Sabtu.
SalamAir memiliki 10 buah pesawat penumpang jenis terbaharu iaitu Airbus A320neo dan A321neo dengan melakukan penerbangan ke 33 destinasi antarabangsa di Asia, Eropah dan rantau Afrika Utara. – KOSMO! ONLINE