fbpx

Perkeso bakal lancar Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah Sabtu ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bakal menyempurnakan pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur Sabtu ini.

Perkeso melalui satu kenyataan hari ini berkata, program anjuran Kementerian Sumber Manusia (KSM) itu dijangka dikunjungi lebih 5,000 pencari kerja di seluruh negara.

“Ini termasuk pengunjung dalam kalangan suri rumah dan wanita serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang akan menghadiri program dua hari berakhir Ahad ini.

“KSM dan Perkeso juga mengalu-alukan kehadiran Perdana Menteri yang bakal merasmikan program itu dan menterjemahkan sokongan kerajaan terhadap usaha membangunkan jaringan keselamatan sosial yang komprehensif dan inklusif di Malaysia,” katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, sepanjang program, orang ramai boleh berinteraksi secara terus dengan Perkeso bagi memahami SKSSR dan manfaatnya dengan lebih mendalam, mendapatkan khidmat nasihat serta membuat pendaftaran SKSSR di gerai disediakan.

Perkeso juga berkata, golongan suami dan pihak seperti badan bukan kerajaan (NGO) atau syarikat swasta turut digalak menaja caruman bagi pihak suri rumah.

“SKSSR yang mula dilaksanakan pada 1 Disember 2022 menawarkan faedah di bawah Perlindungan Bencana Domestik dan Perlindungan Keilatan seperti Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Kekal, Elaun Keuzuran, Faedah Pengurusan Mayat dan Pencen Penakat.

“Skim perlindungan di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 (Akta 838) ini terbuka kepada wanita warga tempatan dan pemastautin tetap berusia kurang 55 tahun dan menguruskan rumah tangga sepenuh masa atau separuh masa, berkahwin atau bujang,” jelasnya.

Tambah kenyataan itu lagi, Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 adalah karnival berskala besar pertama tahun ini dianjurkan Perkeso sebagai inisiatif meningkatkan peluang rakyat memperoleh pekerjaan berkualiti.

Pada masa sama ia mengurangkan kadar pengangguran dan memperkasa pasaran buruh.

Katanya, karnival bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang itu menawarkan lebih 13,000 peluang pekerjaan dengan kira-kira 20 peratus daripadanya terbuka kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) daripada 140 syarikat merentas pelbagai sektor dan industri.

“Karnival ini bakal menyaksikan pembabitan syarikat majikan besar seperti Maybank, Bank Simpanan Nasional (BSN), EXIM Bank, KTM Malaysia, ExxonMobil, UMW, UOA Group dan Avisena Healthcare.

“Ada pelbagai aktiviti perkhidmatan pekerjaan yang disediakan secara percuma termasuk penyediaan resume, pendaftaran portal MYFutureJobs serta bimbingan dan nasihat kerjaya.

“Selain itu pelbagai hadiah cabutan bertuah yang menarik juga menanti para pengunjung sepanjang karnival berlangsung,” katanya.

Kenyataan itu berkata, penganjuran karnival itu adalah antara usaha berterusan KSM melalui Perkeso untuk mewujudkan peluang pekerjaan secara mampan kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan rentan seperti OKU.

Katanya, ia sekali gus menyokong usaha dan komitmen kerajaan untuk membantu rakyat yang terkesan dengan ekonomi semasa dan pasca pandemik Covid-19, terutama mereka yang kehilangan pekerjaan atau menganggur.

“Sehubungan itu, Perkeso mengajak suri rumah dan pencari kerja di seluruh negara memanfaatkan peluang ini dengan berkunjung ke Pelancaran SKSSR dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 hujung minggu ini,” katanya.

Bagi pencari kerja, Perkeso menggalakkan mereka mendaftar di pautan www.myfuturejobs.gov.my/career sebelum hadir ke karnival berkenaan.

Pihak majikan yang berminat menyertai mana-mana karnival kerjaya anjuran Perkeso boleh menghubungi Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Perkeso.

Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang Perkeso di www.perkeso.gov.my atau hubungi talian khidmat pelanggan di talian 1-300- 22-8000. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI